
Timbalan presidennya, Warisan Darell Leiking berkata, kelewatan itu mencetuskan persoalan kerana SPR bergegas untuk mendesak pindaan perlembagaan di Dewan Undangan Negeri tahun lepas untuk menambah kerusi dari 60 hingga 73.
Leiking yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, ia berbeza dengan Dewan Rakyat yang meluluskan perubahan kerusi di Sarawak 2 tahun lalu.
“Apabila dewan Sarawak meluluskan 11 kerusi tambahan pada 2015, Parlimen meluluskan sempadan pilihan raya baru beberapa bulan kemudian,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, tidak ada alasan mengapa SPR mengambil masa yang terlalu lama untuk membawa perkara itu ke Parlimen, terutama sekali kerana tiada parti di Sabah mencabar syor menambah 13 kerusi lagi.
Leiking berkata, pada Disember lalu, Timbalan Speaker Sabah, Johnny Mositun dipetik sebagai berkata, cadangan untuk menambah bilangan kerusi dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan Mac lalu tetapi sehingga kelmarin yang merupakan hari terakhir sidang kali ini tiada perbahasan diadakan.
“Bagi saya, tergesa-gesa untuk menambah 13 kerusi dan kemudiannya senyap sejak itu, menimbulkan beberapa soalan,” katanya.
“Dari segi undang-undang, jika perlembagaan negeri telah wartakan 13 kerusi baharu, bolehkah pilihan raya diadakan jika sempadan baharu tidak diluluskan oleh Parlimen?”
Leiking menambah, selagi sempadan baharu tidak diluluskan oleh Parlimen, Dewan Undangan Negeri tidak boleh dibubarkan, sekali gus mengetepikan andaian kemungkinan pilihan raya negeri awal akan diadakan.
Awal tahun ini, spekulasi kencang Sabah akan mengadakan pilihan raya umum negeri awal susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) Sarawak pada pilihan raya negeri tahun lepas.
Leiking juga berkata kelewatan dalam menyelesaikan isu sempadan meletakkan pembangkang dalam kedudukan tidak memihak.
“Bagaimanakah kita boleh mempersiapkan diri untuk pilihan raya apabila kita tidak mempunyai kepastian atau ketetapan mengenai mana pusat pengundian yang baharu dan sempadan pilihan raya,” katanya.