Exco Pulau Pinang direman 5 hari bantu siasatan SPRM

Exco Pulau Pinang direman 5 hari bantu siasatan SPRM

Turut direman ialah 2 beranak iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun yang merupakan pemilik kilang berkenaan serta anaknya berusia 37 tahun.

Phee-Boon-Poh-law (1)
GEORGE TOWN:
Exco kerajaan negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh direman 5 hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti.

Turut direman ialah 2 beranak iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun yang merupakan pemilik kilang berkenaan serta anaknya berusia 37 tahun.

Perintah berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Ameera Mastura Khamis kira-kira 12.25 tengah hari tadi.

Bagaimanapun pihak peguam bela mahu memfailkan permohonan untuk mencabar perintah reman terhadap exco itu, lapor Bernama.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Peguam R.S.N Rayer dan Ramkarpal Singh mewakili exco itu manakala 2 beranak terbabit diwakili peguam Dev Kumaraendran.

Rayer berkata, pihaknya akan cuba untuk memfailkan permohonan untuk mencabar perintah reman 5 hari terhadap anggota exco berkenaan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.

Beberapa exco kerajaan negeri Pulau Pinang dan anggota dewan undangan negeri bersama penyokong exco itu berkumpul di pekarangan mahkamah dengan membawa sepanduk sebagai tanda solidariti kepadanya.

SPRM menahan exco berkenaan pada  3.35 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang bersama Rayer selepas pejabatnya di tingkat 53, bangunan Komtar di sini dikunjungi lima pegawai SPRM pada  11.30 pagi.

Lelaki berusia 70 tahun itu pula ditahan pada pukul 6.05 petang manakala anak lelakinya ditahan pada 6.25 petang semalam, juga di pejabat SPRM Pulau Pinang.

Khamis lepas, SPRM menjalankan operasi terhadap sebuah kilang haram memproses serbuk kayu yang dipercayai mencemarkan alam sekitar di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

SPRM turut mengambil beberapa dokumen daripada pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda, Bukit Mertajam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut sumber, dokumen itu diambil bagi membantu siasatan kes kilang memproses serbuk kayu yang dikatakan beroperasi sejak 10 tahun lepas tanpa permit di atas tanah berstatus tanah pertanian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.