
“Azalina, jika semua lelaki ‘anak jantan’ dan bertanggungjawab, tidak akan ada kes ibu kehilangan anak bertahun lama dan mungkin tidak akan berjumpa mereka.
“Itulah sebabnya saya betul-betul menggesa menteri dan peguam negara (Tan Sri Mohamed Apandi Ali) supaya berani melakukan apa yang betul dan mencegah penukaran agama sebelah pihak.
“Malangnya, mereka semua sama: tidak berani melakukan yang betul demi anak dan ibu,” katanya hari ini di Twitter.
Zaid, yang kini ahli DAP, memberi komen tentang ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Azalina Othman Said di Dewan Rakyat awal pagi tadi.
Menurut laporan Malaysiakini, Azalina berkata lelaki yang perkahwinannya berakhir kerana mereka memeluk Islam harus jadi “anak jantan” untuk membubarkan penyatuan mereka di mahkamah sivil, bukannya meyalahgunakan status Islam yang baru diperoleh.
“Akta Membaharui Undang-Undang menggalakkan mereka menjadi lelaki budiman. Jika mereka betul ‘anak jantan’, cerailah dengan elok,” kata Azalina.
Walaupun Azalina berucap dalam konteks perceraian antara pasangan bukan Islam dan suami atau isterinya yang beru menukar agama, Zaid terpaksa juga menunjukkan sikap hipokrit menteri itu.
Bagi Zaid, ini menunjukkan kerajaan sudah mengabaikan usaha memastikan keadilan untuk ibu atau bapa bukan Islam yang dipisahkan dengan anak yang ditukar agama tanpa persetujuan mereka.
Beliau merujuk kepada penjelasan Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengenai mengapa kerajaan pada minit terakhir memutuskan untuk menolak cadangan fasal 88A daripada pindaan ke atas Akta Membaharui Undang-Undang, yang dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 12.50am malam tadi.
Fasal 88A menyatakan agama seorang anak hendaklah kekal sama walaupun berlakunya penukaran agama ibu atau anak.
“Nazri berkata kita perlu pinda Perlembagaan Persekutuan untuk memperkenalkan fasal baharu ini,” Zaid beritahu FMT.
“Ini kerana keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Subashini (Rajasingam v Saravanan Thangathoray). Tetapi bila Parlimen meluluskan undang-undang, undang-undang tersebut akan mengatasi keputusan mahkamah.
“Jadi cakap-cakap mengenai pinda Perlembagaan hanyalah muslihat, hanya alasan oleh menteri Barisan Nasional yang tidak berani melakukan apa yang betul.”
Dia juga mendakwa sebab sebenar kerajaan membuang fasal 88A kerana takutkan reaksi daripada PAS dan pelampau yang dilabel Zaid sebagai “puak Taliban”.
“Tetapi adalah tanggungjawab kerajaan untuk melindungi dan berlaku adil kepada kanak-kanak dan ibu. Itu yang telah saya perkatakan selama ini,” tambah Zaid.