RUU tukar agama anak: Apa masalah perlembagaannya, soal Zaid

RUU tukar agama anak: Apa masalah perlembagaannya, soal Zaid

Bekas menteri undang-undang itu berkata jika undang-undang baru diluluskan di Parlimen, ia akan membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

zaid-ibrahim-marriage-court-gavel-1
PETALING JAYA:
Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim mengkritik kepimpinan negara kerana tidak mampu mempertahankan institusi negara dan nilai yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam catatan blog hari ini, beliau memberi contoh para menteri Barisan Nasional (BN) yang memberikan “lakonan politik yang memualkan” di Parlimen semalam, apabila menjelaskan mengapa peruntukan yang menghalang penukaran agama anak sebelah pihak tidak boleh dimasukkan dalam rang undang-undang yang dibentangkan.

“Mereka kata ini adalah perkara Perlembagaan, tetapi sebenarnya tidak. Sebenarnya perkara ini berkenaan keputusan tidak masuk akal Mahkamah Persekutuan 10 tahun lalu.

“Para menteri BN tidak pernah membangkitkan isu keperlembagaan sejak itu. Banyak kali mereka cuba memperkenalkan RUU ini ke Dewan Rakyat tetapi lutut mereka lembik ditekan Taliban dan menarik balik RUU itu pada saat akhir,” katanya.

Ahli DAP berkata sekiranya undang-undang baharu itu diluluskan di Parlimen, ia akan membatalkan sebarang keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai perkara itu sebelum ini.

“Keputusan mahkamah sah digunakan sehinggalah undang-undang baharu yang melarang penukaran agama anak sebelah pihak ditentukan di peringkat tertinggi. Jadi apa masalah perlembagaannya?”

Beliau merujuk kepada kenyataan kerajaan semalam yang berkata Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 jika diteruskan akan menjadi tidak mengikut perlembagaan.

Bekas menteri undang-undang Datuk Seri Nazri Aziz berkata perlembagaan perlu dipinda terlebih dahulu, yang perlukan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata kegagalan memperoleh majoriti 2/3 akan menyebabkan undi tidak percaya terhadap kerajaan.

Zaid bagaimanapun menyangkal dakwaan Nazri itu kerana: “Ia tidak sama dengan undi tidak percaya, kamu cuma tidak dapat 2/3.”

Zaid di blog hari ini turut menghentam parti komponen BN, MIC dan MCA kerana tidak mempertahankan fasal tersebut, Fasal 88.

“Undang-undang melarang penukaran agama sebelah pihak bertujuan untuk mengiktiraf ibu dan bapa mempunyai hak yang sama dalam soal pendidikan anak. Ia juga mengiktiraf prinsip, di bawah perlembagaan, yang mana kerajaan melindungi semua agama.

“MCA dan MIC tidak boleh pertahankan prinsip mudah itu kerana mereka sibuk mempertahankan keahlian mereka dalam BN. Mereka akan buat apa sahaja untuk menyenangkan hati Umno dan PAS – memberi sanjungan kepada Umno mengatasi segalanya.

“Perjuangan politik jenis apa itu?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.