Asean, 17 negara lain setuju guna media sosial lawan pelampau

Asean, 17 negara lain setuju guna media sosial lawan pelampau

Para menteri luar di forum serantau Asean dijangka akan mewujudkan mekanisme serantau menangani ancaman pelampau di rantau ini.

asean-50
MANILA:
Lebih 20 negara Asia akan bersetuju untuk menggunakan media sosial bagi melawan penyebaran ekstremisme di rantau ini, menurut draf kenyataan yang sedang disediakan menjelang mesyuarat keselamatan serantau esok.

Menteri luar dari 10 negara Asean dan dari 17 negara rakan dialog dijangka akan mewujudkan mekanisme serantau untuk menangani ancaman keselamatan itu.

“Para menteri sekeras-kerasnya mengecam keganasan muktakhir ini dalam apa jua bentuk dan penyataan,” kata draf kenyataan pengerusi yang dilihat Reuters, mencerminkan perbincangan yang sudah dijangkakan di forum serantau Asean yang sedang berlangsung di Manila.

“Mereka mengambil maklum keperluan untuk memanfaatkan media sosial sepenuhnya dan secara berkesan untuk melawan penyebaran naratif pengganas di atas talian.”

Forum dijangka membincangkan mengenai mewujudkan mekanisme untuk meningkatkan usaha dalam keselamatan teknologi komunikasi dan maklumat, yang mana Jepun, Malaysia dan Singapura secara sukarela menawarkan diri untuk menerajui usaha itu.

Filipina, yang menjadi tuan rumah kepada sidang Asean itu, antara yang paling terkesan. Pihak berkuasa berkata ideologi radikal IS semakin bertapak di negara itu, dengan kumpulan tempatan menggunakan media sosial untuk sebagai cara utama merekrut militan, yang turut termasuk warga Indonesia, Singapura dan Malaysia.

Tentera Filipina sedang bertempur dengan militan Islam yang merampas sebahagian bandar Marawi lebih 2 bulan lalu. Hampir 700 orang terbunuh dan lebih 400,000 orang kehilangan tempat tinggal dalam pertempuran sengit itu.

Pihak berkuasa Filipina percaya masalah itu melangkaui Marawi dan militan mungkin sedang bersiap sedia untuk menyerang bandar lain.

Menteri Aseann sedia bertindak kerana mereka saksikan sendiri bagaimana pelampau menggunakan media sosial untuk mempromosikan ideologi, merekrut dan mengilhamkan serangan, kata seorang pegawai kementerian luar Filipina kepada Reuters.

“Mereka menyebarkan video ganas di Twitter dan Facebook dan berhubung melalui aplikasi pesanan Telegram,” katanya, dan menambah para menteri mengambil keputusan untuk melawan ancaman menggunakan platform yang sama.

Jurucakap tentera Filipina, Brigedier Jeneral Restituto Padilla berkata, banyak negara menunjukkan kemajuan dalam perkara itu tetapi “Asean perlu melakukan lebih banyak lagi.”

“Kita boleh bekerjasama melangkau kerjasama ketenteraan tradisional,” katanya, mengiktiraf sokongan dari Indonesia dan Malaysia melalui pertukaran maklumat dan perisikan dan rondaan sempadan maritim bersama.

“Kami mahu tingkatkan kerjasama ini bukan sahaja dengan Indonesia dan Malaysia,” katanya. “Cabaran yang kita hadapi di Marawi memberi kesan kepada rantau ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.