
Dalam ucapannya di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata skim kerajaan itu memerlukan majikan dan pekerja membuat caruman 0.5% dari gaji bulanan.
Pekerja yang memperoleh RM2,000 perlu membayar RM10, sementara majikannya akan menyumbang pada jumlah yang sama, menjadikan jumlah keseluruhan RM20.
“Kalau kita darabkan dengan 6.5 juta pekerja di sektor swasta yang dilindungi skim itu dan kemudian darabkan dengan 12 bulan, kita akan dapat RM1.56 bilion.
“Duit itu yang akan diagihkan kepada rakyat yang dibuang kerja,” katanya.
Beliau kemudian mengajukan senario terburuk di mana 35,000 pekerja yang dibuang kerja dalam suatu tahun diberi pakej pampasan RM15,000 seorang.
“Ini berjumlah RM525 juta, dengan lebihan RM1.04 bilion dibawa ke tahun berikutnya.
“Lebihan itu akan membesar pada tahun-tahun seterusnya menjadi dana yang besar seperti Tabung Pembangunan Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF),” katanya.
Santiago berkata persoalan yang timbul ialah sebab mengumpul jumlah wang sebegitu banyak sedangkan pembayaran pampasan cuma 30% daripada keseluruhan kutipan.
Wakil rakyat DAP itu memberi amaran wang itu akan terbiar dan tidak dimanfaatkan.
“Mengapa bebankan pekerja dan majikan, terutamanya di industri kecil dan sederhana, yang sekarang ini terkesan dengan gaji yang bergenang, kos sara hidup yang tinggi dan GST, selain caruman Perkeso dan KWSP?”
Beliau menambah skim itu mungkin menyebabkan pekerja kehilangan pekerjaan kerana kos pengeluaran yang tinggi menyebabkan pekerja asing dan pekerja asing tanpa izin nampak lebih menarik.
Alternatif lain kepada skim itu ialah perjanjian 3 pihak antara kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja, katanya.
“Strategi alternatif lain dalam menganjurkan kewangan EIS ialah menggunakan lebihan dana dalam Tabung Pembangunan Sumber Manusia dan Perkeso secara lebih berkesan.
“Strategi itu, bersama dengan caruman RM1 dari setiap pekerja dan sumbangan dari majikan dan kerajaan dalam tahun-tahun berikutnya boleh menjadikan skim itu sangat mapan dalam jangka masa panjang.”
Santiago berkata dengan strategi itu, skim itu boleh dilaksanakan pada hujung tahun ini berbanding 2 tahun dalam rancangan sedia ada.
“Strategi 1 ringgit akan menyumbang kira-kira RM19.5 juta kepada tabung SIP,” katanya.
Santiago berkata lebihan tunai dalam Tabung Pembangunan Sumber Manusia pada 2014 sahaja mencecah RM1.1 bilion, dan RM1.3 bilion dan RM1.2 bilion dalam 2 tahun seterusnya.
“Sebelum kita laksanakan rancangan ini, kerajaan mesti jalankan penilaian bagaimana ia memberi kesan kepada pekerja dan industri kecil dan sederhana,” katanya.
SIP bertujuan menjadi jaringan keselamatan sosial untuk pekerja.
Ia memberikan kelegaan sementara untuk pekerja yang dibuang kerja tetapi belum menerima pampasan.
Kerajaan membentangkan rang undang-undang untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 1 Ogos. Ahli Parlimen dijangka mendebatkan rang undang-undang itu pada sidang kali ini.