
“Masyarakat antarabangsa perlu segera mengutuk penutupan ini dan menggesa agar Masjid Al-Aqsa segera dibuka semula,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Beliau yang juga ketua pembangkang di Parlimen berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya penutupan Masjid Al-Aqsa oleh rejim Israel.
“Penutupan ini bermakna umat Islam tidak dapat mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa buat kali pertama dalam hampir 5 dekad,” kata beliau.
Presiden PKR itu menambah, selain merupakan masjid ke-3 terpenting dan suci bagi umat Islam, Masjid Al-Aqsa juga tempat penting dan suci bagi penganut agama Kristian.
“Penutupan ini menandakan peningkatan ketegangan hubungan di antara Israel dan Palestin. Walaupun kami faham isu keselamatan yang membawa kepada tindakan ini, namun penutupan Masjid Al-Aqsa tidak patut dijadikan peluang puak-puak radikal dan militan ekstremis untuk mengembangkan fahaman kejam mereka,” katanya.
Menurut laporan berita, polis Israel menutup Masjid Al-Aqsa dan tidak membenarkan solat Jumaat diadakan selepas 3 penduduk Palestin dan 2 polis Israel terbunuh dalam pertempuran bersenjata di pekarangan masjid itu.
Al Jazeera, saluran berita bebas negara Arab, melaporkan susulan insiden itu, polis Israel mengarahkan orang ramai beredar dari Masjid Al-Aqsa dan menutupnya kepada awam.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata Malaysia mendesak Israel segera membuka semula Masjid Al-Aqsa untuk umat Islam dan menghentikan sebarang tindakan yang akan mengubah status quo tempat suci umat Islam itu.