Jika menang PRU, PM Pakatan Harapan bukan ‘sementara’, kata Dr M

Jika menang PRU, PM Pakatan Harapan bukan ‘sementara’, kata Dr M

Namun masih belum ada kata putus berhubung calon PM, walaupun selepas mesyuarat semalam memuktamadkan barisan kepimpinan Pakatan Harapan.

mahthrir01
KUALA LUMPUR:
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sesiapa yang dilantik sebagai perdana menteri jika Pakatan Harapan menang pilihan raya umum nanti akan mentadbir kerajaan dan bukannya bersifat sementara.

Namun, Pengerusi PPBM itu memaklumkan calon tersebut masih belum diputuskan.

“Kita belum buat apa-apa keputusan. (Namun calon perdana menteri) bukan ‘in-waiting’ (menunggu) atau ‘interim’ (sementara).

“Perdana menteri bukan sebagai sementara, tetapi perdana menteri (sebenar-benarnya),” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, rata-rata pemimpin PH kekal memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri walaupun beliau masih di dalam penjara.

Untuk itu, ada yang mencadangkan kerajaan PH – jika berjaya membentuk kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang – berusaha mendapatkan pengampunan diraja untuk bekas ketua pembangkang itu dan mengambil alih jawatan perdana menteri daripada “perdana menteri sementara”.

Semalam, PH mengumumkan senarai pimpinan tertingginya, dengan Anwar sebagai ketua umum manakala Dr Mahathir menjadi pengerusi. Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail diangkat sebagai presiden.

Dalam sidang media itu, PH mengumumkan akan mengemukakan permohonan pengampunan baru untuk Anwar, agar boleh terus terlibat secara aktif dalam politik selepas dibebaskan.

Hari ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Salleh Said Keruak mengkritik pengumuman tersebut, antaranya kerana tiada penjelasan berhubung kuasa eksekutif dan kata putus terakhir antara 3 jawatan tertingginya.

“Hanya dia sahaja yang ukur (kedudukan mana paling tinggi). Dia ukur tinggi atau rendah, (yang sebenarnya) dialah yang cukup rendah,” kata Dr Mahathir tanpa mengulas lanjut.

Berhubung dakwaan Salleh yang DAP dipinggirkan dalam barisan pimpinan tertinggi PH, Dr Mahathir menafikan perkara itu dan sekali lagi menegaskan keempat-empat parti komponen dalam gabungan itu mempunyai kedudukan setaraf.

Dalam Pakatan Harapan, katanya, keputusan dibuat secara konsensus dan juga suara majoriti.

“Dalam hal tertentu, kita terpaksa tentukan mengikut majoriti. Beberapa perkara yang diputuskan semalam juga diputuskan melalui majoriti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.