
Bekas menteri penerangan itu berkata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz kini menerima satu lagi “produk baru pelancongan” di mana pelancong asing dan negara maju boleh “menyaksikan hukuman ikut cara kuno dan barbarik di sebuah negara demokrasi dan moden Malaysia”.
Menurutnya, pelaksanaan hukuman itu di Arab Saudi dan Brunei tidak menimbulkan tanda tanya disebabkan kedua-dua negara itu diperintah oleh raja mutlak.
Sebaliknya, langkah serupa di Malaysia yang merupakan negara mengamalkan demokrasi adalah sesuatu yang baharu.
“Langkah ini juga boleh dipromosikan oleh Nazri di kalangan negara-negara Arab sebagai usaha membantu memperbaiki imej Arab Saudi yang masih mengekalkan cara hukuman yang tidak bertamadun.
“Tentunya dengan itu Arab Saudi akan meningkatkan kuota bilangan jemaah haji Malaysia ke Mekah,” tulis Zainuddin yang mesra dengan panggilan Zam Maidin.
Semalam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.
Ia juga membenarkan pegawai penguatkuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain penggunaan video sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memberitahu Bernama, ia menepati syariah kerana “hukuman syariah itu mesti dibuat di hadapan khalayak”.
Zam berkata pelaksanaan undang-undang itu bakal menjejaskan imej Umno dan Barisan Nasional kerana bersubahat dengan kerajaan PAS yang “dogmatik, mundur dan miskin”.
“Lebih menyedihkan ialah penguatkuasaaan undang-undang ini kelak merupakan pengkhianatan terhadap perjuangan dan asas kemerdekaan negara yang diletakkan oleh pengasas-pengasas Umno terutama perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail yang telah membina imej perkongsian kuasa untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang bertoleransi, harmoni, liberal, moden dan demokratik yang setaraf dengan negara-negara maju lain di dunia,” kata Zam.