
Pengarah Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Adon Shalan berkata ia berdasarkan modus operandi yang digunakan nelayan Vietnam setiap kali berdepan anggota penguatkuasaan maritim di kawasan berkenaan.
“Kalau kita tengok modus operandi, memang mereka dipantau dan ada pihak tertentu yang mengatur kerana kita dapat maklumat, apabila kita dalam perjalanan pulang ke jeti selepas menahan sebilangan kapal, tiba-tiba akan ada 1 atau 2 laporan lagi mengenai pencerobohan kapal Vietnam.
“Maknanya, ada sesuatu tidak kena,” katanya dalam temubual bersama Bernama baru-baru ini.
Adon berkata nelayan tersebut mempunyai ejen khas yang membantu mereka dalam soal pembelaan sekiranya mereka ditangkap dan didakwa di mahkamah.
“Sistemnya sangat teratur terdiri daripada peguam dan sebagainya. Mereka arif tentang undang-undang negara dan dalam kes sebegini, ia selalunya berlarutan di mahkamah kerana mereka (ejen) asyik menentang kes.
“Kadang-kadang, apabila kita tidak mempunyai bukti konkrit seperti gambar yang menunjukkan jaring ikan dalam air, peguam mereka boleh memutar-belitkannya sehingga anak guamnya berjaya melepaskan diri daripada hukuman,” katanya.
Adon berkata perkara ini terbukti apabila APMM hanya memenangi 5 kes di mahkamah sejak 2015 hingga Mei lepas manakala 6 kes lagi masih dalam siasatan.
Semua kes itu melibatkan 11 buah kapal dan 155 anak kapal.
Daripada jumlah itu, 4 kapal ditahan pada 2015, 2 kapal (2016) dan 5 kapal (sehingga Mei tahun ini) dengan nilai rampasan ikan berjumlah RM241,192.
Menurut Adon, kebanyakan nelayan ini bergerak aktif di Tanjung Sedili, Kota Tinggi dan Pulau Aur, Mersing memandangkan kedua-dua kawasan kaya dengan sumber makanan laut.
“Apabila memasuki perairan negara, mereka tidak datang keseorangan tetapi secara berkumpulan, sekurang-kurangnya 10 kapal. Itu sebab kalau kita dapat tangkap sekali pun, kita hanya dapat menahan 1 atau 2 sahaja kerana apabila menyedari bot APMM, mereka akan terus lari.
“Namun, selepas beberapa ketika, mereka akan datang semula,” katanya.
APMM perlu aset tambahan
Justeru itu, untuk menyekat sepenuhnya kegiatan itu, APMM memerlukan penambahan anggota dan aset yang dapat membantu mereka melaksanakan tugas secara berkesan.
“Dengan keluasan perairan Johor iaitu 14,334 batu nautika persegi tidak dinafikan kita memang memerlukan aset tambahan.
“Kalau di bahagian barat perairan negara, lebih sesuai kalau kita gunakan bot laju seperti bot petir kerana zaman sekarang penjenayah sudah mula menggunakan bot yang memiliki 4 hingga 5 enjin yang boleh mencapai kelajuan sehingga 50 knot sejam.
“Kita pula masih menggunakan bot 2 enjin dan sukar untuk kita mengejar mereka,” kata beliau.
Sementara itu, di sebelah timur pula, kawasan ini melibatkan perairan luas dan bertentangan dengan Laut China Selatan.
“Ekoran itu, banyak aktiviti dilakukan termasuk pemunggahan kapal dagang dan sebagainya. Jadi, kita memerlukan kapal yang canggih dan laju kerana kapal sekarang adalah terhad kelajuannya,” katanya.