
Pensyarah seni bina di Universiti USCI, Dr Tajuddin Rasdi berkata, reka bentuk sekolah sedia ada terdiri daripada deretan bilik darjah jauh daripada pihak pentadbiran seperti pejabat pengetua dan guru, bilik rehat pekerja, perpustakaan, pusat sumber dan kedai buku.
Ini, katanya, menyebabkan sekolah mempunyai terlalu banyak ruang tersembunyi seperti tandas dan ruang lebihan yang ditimbun perabot terpakai dan rosak di belakang sekolah.
“Lebih banyak pengawasan diperlukan. Berdasarkan seni bina penjara, menara tinjauan ditempatkan secara strategik supaya 100% ruang luaran boleh dilihat dengan mata kasar bagi mengelakkan banduan meloloskan diri.
“Saya tidak cadangkan kita menukar sekolah kerajaan kepada penjara, tetapi prinsip pengawasan visual maksimum boleh dilakukan menerusi cara kurang dominan,” katanya kepada FMT.
Buli di sekolah mendapat perhatian selepas kematian 2 pemuda baru-baru ini.
Pada 1 Jun, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, meninggal dunia 2 jam selepas dikejarkan ke Hospital Serdang dengan kesan lebam dan lecur hampir 80% di badannya, pada 1 Jun lalu.
Pada 9 Jun, T Nhaveen, 18, diserang 5 pemuda menggunakan topi keledar dan menyulanya. Dia meninggal dunia pada 15 Jun.
Menurut guru yang mengenali Nhaveen, penyerang yang terlibat kerap mengganggu Nhaveen ketika di sekolah dulu.
Untuk menghentikan kejadian buli di sekolah, Tajuddin mencadangkan pembinaan bangunan sekolah berbentuk U.
“Di hujung bahagian tengah setiap blok berbentuk U itu, di setiap tingkat, perlu ada bilik kaca 4 segi. Saya kira 8 bilik darjah boleh membentuk U dengan bilik kaca 4 segi ini boleh nampak setiap bilik darjah itu.”
Melalui cara itu, katanya, bilik kaca berkenaan akan mempunyai visual jelas dan pengawasan akustik untuk semua bilik darjah di tingkat terbabit dan mendengar jeritan daripada bilik darjah.
“Bilik kaca 4 segi ini boleh berfungsi sebagai bilik guru. Ketika ini, semua guru ditempatkan di sebuah bilik besar.
“Saya tidak faham kenapa susunan bercorak feudalistik ‘guru besar-guru’ lebih digemari. Namun, jika guru ditempatkan di bilik kaca itu, ia bukan sahaja memberi pengawasan visual demi keselamatan, tetapi juga perasaan lebih baik terhadap keperibadian dan maruah guru.”
Tandas di hujung
Selain itu, katanya, pembinaan tandas di hujung blok menjadikannya lebih mudah untuk kejadian buli berlaku.
“Tandas ialah tempat sering berlaku kejadian buli. Oleh itu, tandas perlu dibina dalam pengawasan visual pihak pentadbiran. Arkitek boleh mengecat pintu dan dinding tandas dengan warna cantik serta diletakkan tumbuh-tumbuhan dan pasu.”
Beliau mencadangkan kemudahan tandas seperti di kawasan rehat Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) kerana ia kelihatan seperti taman indah berbanding tandas luar tradisional.
“Dinding tandas tidak sepatutnya mencecah siling untuk memberi idea keterbukaan dan tidak menyekat penglihatan dan pendengaran. Ia perlu membolehkan jeritan dan teriakan didengari.”
Pensyarah seni bina itu mencadangkan kerajaan membina tandas berdasarkan kumpulan usia, bukannya hanya terbahagi kepada jantina.
Ruang belakang
Satu lagi cadangan Tajuddin ialah membuang ruang lebihan di belakang sekolah.
Menurutnya, ini kerana arkitek tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengannya.
“Untuk membasmi gejala buli, tidak patut ada idea kawasan ‘belakang’ untuk menimbun perabot rosak. Semua bahagian sekolah perlu direka bentuk sebagai bahagian ‘depan’ dan tiada bahagian belakang.”
Tajuddin berkata, ruang bermain ketika sesi rehat juga perlu diasingkan.
Menurutnya, di Scotland, sebuah sekolah rendah menyediakan 3 ruang bermain berasingan untuk pelajar berlainan usia. Pekerja khas atau guru akan bergilir menjadi pengawas.
“Sudah tiba masanya kita mengamalkan strategi ini untuk mengelakkan anak-anak kita daripada buli.”
Beliau berkata, dahulu arkitek di Jabatan Kerja Raya tidak memikirkan isu seperti buli, culik, jatuh dari koridor, tangga serta tingkap.
Kini reka bentuk baharu diperlukan kerana cara pemikiran laman menjadi faktor penyumbang kepada kes buli di Malaysia, kata Tajuddin.
Tambahnya, pada awal kemerdekaan negara, bangunan konkrit sedemikian banyak menyumbang kepada pembangunan negara sehingga kini.
“Ia mudah dibina, menjimatkan kos dalam aspek tertentu dan fleksibel untuk pelbagai kegunaan.
“Tetapi, tipologi ini perlu diketepikan sejajar perubahan keperluan, kaedah pendidikan dan desakan untuk reka bentuk hijau. Rakyat mahu reka bentuk yang lebih selamat untuk anak-anak mereka,” katanya.