Dari hujung jari ke hati: ‘Sentuhan’ Al-Quran untuk orang buta

Dari hujung jari ke hati: ‘Sentuhan’ Al-Quran untuk orang buta

Mesin khas yang diimport dari Sweden membolehkan naskhah Al-Quran dalam bentuk Braille dapat dicetak dalam masa 4 jam.

Zamzuri Ghani mendemonstrasi bacaan Al-Quran menggunakan versi Braille.
Zamzuri Ghani mendemonstrasi bacaan Al-Quran menggunakan versi Braille.
KUALA LUMPUR:
Sebuah pertubuhan yang membantu umat Islam cacat penglihatan kini berusaha mengeluarkan pelbagai bahan bacaan agama untuk golongan itu, termasuk naskhah Al Quran khas yang menggunakan tulisan Braille.

Al-Quran Braille, di samping buku agama lain yang dicetak oleh Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) membantu orang buta mendalami Islam dengan lebih baik.

“Dengan adanya Al-Quran Braille, mereka mendapat lebih pengetahuan yang sebelum ini hanya menggunakan teknik hafalan,” kata Naib Yang Dipertua Pertis, Zamzuri Ghani ditemui FMT baru-baru ini.

Melalui sentuhan jari mereka, seseorang itu juga dapat mengeja dan membaca baris Al-Quran dan mematuhi peraturan tajwidnya.

Zamzuri berkata teknologi terkini membolehkan pihaknya menghasilkan sebuah Al-Quran dalam masa 4 jam sahaja, menggunakan mesin cetak khas yang diimport dari Sweeden.

“Dulu kita kena tulis satu-satu dengan tangan, kini hanya perlu cetak sahaja,” katanya.

Pertis juga mengambil tempahan daripada sesiapa yang inginkan naskhah Al-Quran dalam tulisan Braille.

“Dalam masa 4 jam, sebuah Al-Quran boleh disiapkan dengan 30 juzuk yang mengandungi 6 jilid dan setiap jilid mengandungi 5 juzuk dalam versi ‘double sided’,” kata Zamzuri yang juga cacat penglihatan.

Pertis kini mempunyai 6 mesin cetak khas, setiap satunya bernilai RM30,000, hasil sumbangan pihak swasta dan individu tertentu.

Pertis adalah satu-satunya organisasi negara ini yang dibenarkan menerbitkan Al-Quran Braille yang disahkan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), serta mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), badan bertanggungjawab memastikan naskhah Al-Quran bebas daripada sebarang kesalahan.

Zamzuri berkata setiap huruf jawi atau rumi dalam versi Braille mengandungi 6 titik dan ia digunakan di mana-mana negara. Setiap susunan titik yang berbeza membentuk setiap huruf.

“Dalam tulisan rumi, huruf ‘A’ contohnya menjadi huruf ‘Alif’ dalam tulisan jawi. Huruf yang sama tetapi pentaksiran berbeza. Kalau huruf ‘B’, ia menjadi huruf ‘Ba’ dan beberapa huruf lain,” katanya.

Muhammad Lee Abdullah menunjukkan proses penghasilan Al-Quran Braille.
Muhammad Lee Abdullah menunjukkan proses penghasilan Al-Quran Braille.

Sementara itu, Muhammad Lee Abdullah yang bertanggungjawab dalam unit penerbitan Braille Pertis, berkata pihaknya menggunakan perisian Terjemahan Duxbury Braille (DBT) dan sebuah komputer bersuara untuk menghasilkan naskhah Al-Quran.

“Orang buta seperti kami tidak perlu lihat skrin komputer, kami hanya perlu dengar dari pembesar suara bagi setiap huruf atau ayat-ayat yang ditaip.

“Ketebalan kertas yang digunakan untuk mencetak Al-Quran Braille ini ialah 140 gram, ia bukan sebarang kertas. Tidak boleh gunakan kertas A4 sebab ia nipis,” katanya.

Jelas Lee, sudah menjadi tanggungjawabnya menyemak sendiri Al-Quran Braille yang dihasilkan dan menggantikannya dengan kertas baharu sekiranya terdapat kecacatan dalam penghasilan kitab suci itu.

Al-Quran Braille dijilid menggunakan kertas jenis tebal seberat 140 gram.
Al-Quran Braille dijilid menggunakan kertas jenis tebal seberat 140 gram.

“Memang kalau lihat kertas yang ditebuk ini melalui mata kasar, kita akan rasa pening, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tetapi jika diteliti, akan ada hujung tebukan itu yang tidak sama,” katanya.

Sebuah Al-Quran Braille dijual dengan harga RM200 untuk “double sided” manakala RM430 untuk “single sided”.

Manakala Al-Quran Braille beserta terjemahan pula dijual dengan harga RM800 ringgit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.