
Pengerusi Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (Zenith) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata taklimat itu termasuk pecahan struktur fi, menunjukkan bayaran fi tepat kepada perunding yang didakwa Barisan Nasional (BN) terlalu tinggi.
“Bukankah pelik kami pergi ke kementerian untuk membincangkan kelewatan kajian kebolehlaksaan terowong bawah laut tanpa membincangkan fi yang dikatakan berlebihan?
“Saya semak dengan perunding saya yang menghadiri taklimat itu dan mereka mengesahkan mesyuarat ada membincangkan fi yang didakwa tinggi itu.
“Kami bukan cuba menggunakan nama kementerian dan menteri kerja raya untuk mempertahankan dakwaan fi tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zarul menjawab Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof yang semalam membidas Zenith kerana menggunakan nama beliau dan kementerian terhadap dakwaan terlebih bayar perunding projek itu.
Zarul berkata Zenith dan pegawai kerajaan Pulau Pinang sudah bertemu pegawai kementerian, termasuk Fadillah sendiri, untuk memberikan penjelasan “penuh”.
Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pertama kali menimbulkan isu pembayaran berlebihan itu, berkata kerajaan Pulau Pinang, sebagai pemilik projek, sudah membayar RM177.5 juta kepada para perunding.
Beliau berkata jumlahnya 4 kali ganda daripada bayaran biasa. Rahman berkata kos reka bentuk terperinci sepatutnya “hanya tinggi sedikit daripada RM41 juta”, menurut garis panduan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), sebuah badan berkanun yang ditadbir kementerian.
Zarul berkata angka RM177.5 juta yang disebut Rahman itu jika hanya untuk 3 jalan raya utama pasti kelihatan tinggi.
Tetapi beliau berkata perhitungan Rahman tidak termasuk komponen terowong bawah laut, yang dianugerahkan bersama 3 jalan raya utama di bawah projek itu.
Zarul juga berkata anggaran RM41 juta yang dikira BEM hanya mengambil kira kerja sivil dan struktur.
Beliau berkata beberapa kerja memerlukan kepakaran asing dan sukar dibandingkan dengan institusi profesional semasa.
“Oleh itu, fi mereka perlu ditentukan mengikut standard bayaran antarabangsa,” katanya.
Beliau menawarkan Fadillah dan Rahman satu lagi pembentangan mengenai struktur fi terperinci.
“Kami ingin bertemu dengan BEM dan kami harap anda (Fadillah) dan Rahman dapat menyertai mesyuarat itu, di mana kami akan menyampaikan struktur fi terperinci kami bersama dengan perunding kami,” kata Zarul.
Menteri kesal syarikat bina terowong Pulau Pinang guna namanya