FAM: Pemain naturalisasi tidak boleh bermain untuk negara

FAM: Pemain naturalisasi tidak boleh bermain untuk negara

Kemasukan pemain naturalisasi yang berlebihan akan memusnahkan peluang pemain muda tempatan.

fam-malaysia
KUALA LUMPUR:
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak berminat untuk mendapatkan khidmat pemain naturalisasi yang tidak mempunyai hubungan susur galur dengan negara.

FAM dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya hanya akan memberi lampu hijau kepada pemain berdarah campuran yang mempunyai pertalian darah dan ada hak kelahiran untuk bermain untuk negara.

FAM juga menganggap bahawa membuka pintu kepada pemain naturalisasi juga akan memusnahkan masa depan dan peluang pemain muda yang sedang dibangunkannya.

“Kita tidak boleh leka dengan keghairahan kita untuk meningkatkan mutu bola sepak dengan memilih pemain naturalisasi. Ia juga seperti mensabotaj semua perancangan pembangunan masa hadapan yang telah dirangka, disebabkan kerana kekurangan peluang di bahagian atas piramid oleh kerana kemasukan pemain naturalisasi yang berlebihan.

“Situasi ini berbeza dalam isu pemain berdarah campuran kerana mereka mempunyai hak kelahiran. Tambahan pula berapa ramai pemain berdarah campuran yang boleh dicari. Pasaran bola sepak tidak boleh ditakluki oleh pemain berdarah campuran.

“Tetapi ianya boleh ditakluki oleh pemain naturalisasi kerana sesiapa sahaja boleh dinaturalisasikan. Pemain naturalisasi merupakan pemain yang telah memperolehi kewarganegaraan melalui tempoh masa mereka berada di Malaysia atau mana-mana kriteria lain yang dikuatkuasakan oleh kerajaan,” menurut FAM.

FAM turut menjelaskan pemain yang mendapatkan pasport Malaysia menggunakan medium bola sepak boleh menggunakan kelebihan visa semasa ketibaan atau visa akses percuma ke beberapa negara untuk menggelakkan sekatan perjalanan yang mungkin wujud pada pasport asal mereka.

“Kita tidak perlu menjadi terlalu naif untuk berfikir bahawa pemain dari benua lain yang memohon pasport Malaysia hanya berminat untuk bermain untuk Malaysia sahaja. Tidak mustahil pemain-pemain ini akan menggunakan pasport Malaysia mereka sebagai pemain Asia untuk bermain di liga lain yang mana mereka mungkin sepatutnya tidak layak,” jelas FAM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.