
“Kita perlu memandang serius sumbangan yang dibuat pihak asing, yang mencecah berbilion ringgit, kepada ahli politik. Mereka menyumbang bukan kerana menyokong ahli politik itu, tetapi tentu ada sesuatu di sebaliknya,” kata Jomo, yang pernah berkhidmat sebagai penolong setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hal ehwal ekonomi.
Beliau dipercayai merujuk wang RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam akaun peribadinya.
Akhbar The Wall Street Journal pada 2015 memetik kertas penyiasatan tempatan mengenai 1MDB berkata wang tersebut merupakan dana berkait syarikat milik Kementerian Kewangan itu.
Bagaimanapun, Najib berkata ia merupakan sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi bagi membantu Umno dalam kempen pilihan raya umum 2013.
“Apa keperluan golongan diraja tertentu memberikan berbilion ringgit kepada ahli politik?” soalnya pada forum “Reformasi Sistem Pilihan Raya Sebelum PRU ke-14” anjuran Bersih 2.0 yang diadakan di pejabat portal Malaysiakini malam tadi.
“Tanggungjawab kita untuk memastikan pilihan raya kita tidak dijual beli. Kita berhadapan risiko menjual masa depan negara,” kata Jomo.

Seorang lagi ahli panel, peguam Syahredzan Johan mencadangkan suatu undang-undang diwujudkan bagi menyatakan secara jelas peranan kerajaan sementara bermula dengan terbubarnya Parlimen sehingga terbentuk kerajaan baharu.
Beliau berkata, kerajaan sementara tidak memiliki mandat rakyat dan oleh itu tidak berhak mengumumkan projek baharu ketika pilihan raya.
“Kerajaan sementara hanya untuk menjaga pentadbiran ketika pilihan raya berlangsung. Ia tidak boleh memberikan kontrak, mengumumkan projek atau membuat lantikan baru.
“Jika perlu ada kod tatacara atau perundangan bagi memastikan apabila terbubarnya Parlimen, kerajaan sementara hanya membuat apa yang perlu secara minimum bagi memastikan pentadbiran terus berjalan,” katanya.
“Ini soal penting, dan boleh dilakukan sebelum PRU akan datang,” tambahnya.
Pembangkang sebelum ini mendakwa Barisan Nasional sering menggunakan jentera kerajaan termasuk pelancaran projek baharu sepanjang kempen pilihan raya umum.
Syahredzan berkata sudah tiba masanya larangan penggunaan jentera kerajaan dimasukkan secara jelas dalam undang-undang.
“Mungkin Akta Kesalahan Pilihan Raya boleh dipinda untuk tujuan ini.
“Ia boleh dijayakan jika kerajaan mempunyai tekad politik untuk melakukannya. Jika mereka mahu, masyarakat sivil tentunya gembira untuk membantu kerajaan merangka undang-undang ini,” katanya.