
Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir menetapkan tarikh berkenaan selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khazrin Haffiz Khalil.
Terdahulu, Khazrin Haffiz memohon agar mahkamah membenarkan tarikh sebutan semula yang dicadangkan bagi memastikan segala dokumen yang lengkap dihantar sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.
Abd Latif diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin dan 4 lagi peguam manakala Amir diwakili Asrul Z Stork dan Hazza Khalid.
Pada 19 April lalu, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir menerima rasuah daripada beberapa individu bagi mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera kepada pembeli awam serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi beberapa projek perumahan.
Amir pula dituduh menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuknya dan Abd Latif bagi melakukan apa-apa transaksi yang sebenarnya dengan badan awam iaitu mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera dan pengurangan bayaran wang sumbangan tabung berkenaan.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu di sebuah bank di Larkin Perdana.
Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM2 juta seorang dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan.