Zahid nafi pegawai Turki turut sama operasi di KL

Zahid nafi pegawai Turki turut sama operasi di KL

Laporan itu bertentangan dengan kenyataan kerajaan di mana Ankara tidak terlibat dalam operasi tersebut

zahid-arrest
SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan sebuah agensi berita melaporkan pegawai Turki turut sama dalam operasi pihak berkuasa Malaysia semasa menahan 3 warga Turki sebelum ini.

“Tidak (benar), itu sumber berita yang salah. Saya tahu,” katanya sambil menambah ia bertentangan dengan kenyataan kerajaan di mana Ankara tidak terlibat dalam operasi itu.

Semalam, laman Turkey Purge memetik agensi berita Turki, Anadolu melaporkan Pertubuhan Penyiasatan Kebangsaan Turki (MIT) dan unit anti keganasan negara itu bersama-sama dalam operasi menahan warga Turki di Malaysia.

Menurut laman yang giat melaporkan tindakan besar-besaran Presiden Recep Tayyip Erdogan ke atas pengkritik kerajaan itu, Anadolu melaporkan penglibatan pegawai itu secara rahsia dan tidak diketahui keluarga mereka sendiri.

Ketiga-tiga warga Turki yang ditahan itu adalah ahli akademik Ismet Ozcelik, Pengetua Time International School Ipoh Turgay Karaman dan ahli perniagaan Ihsan Aslan.

Sebelum ini, laman itu turut mendakwa Malaysia menahan mereka atas arahan Ankara namun ia dinafikan kerajaan Malaysia.

Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dengan “pertubuhan pengganas” Fethullahist Terrorist Organization (FETO).

Erdogan sebelum ini mengharamkan Pergerakan Gulen yang diasaskan intelektual Turki yang kini hidup dalam pelarian iaitu Fethullah Gulen kerana didakwa terlibat dalam cubaan merampas kuasa Julai 2016.

Zahid sekali lagi menegaskan pihak berkuasa Malaysia mendapat maklumat tentang kegiatan mencurigakan tahanan melalui Pusat Komunikasi Pintasan Mesej (counter messaging centre) selain kerjasama daripada agensi perisikan antarabangsa.

“Daripada maklumat ini kita dapati ketiga-tiga yang ditahan adalah anggota pertubuhan yang diharamkan di Turki dan mahu menggunakan Malaysia sebagai tempat melancarkan gerakan baru di luar Turki.

“Jika kita melindungi mereka dalam jangka masa panjang, ia akan merosakkan imej negara. Ini tidak boleh dibiarkan,” kata pada sidang media selepas program ‘Universiti Bersama Timbalan Perdana Menteri’ di Universiti Teknologi Mara hari ini.

Zahid juga mengakui anasir keganasan berjaya dibanteras di Malaysia kerana pihaknya melakukan pemantauan perbualan atas talian, namun menjamin ia tidak dilakukan kepada rakyat biasa.

“Kita hanya memantau mereka yang tersenarai dalam suspek yang dikehendaki dan kerajaan tetap menghormati hak dan kebebasan rakyat.

“Kita berkongsi pengetahuan dengan negara lain dan dunia mengiktiraf usaha kita (memerangi keganasan),” katanya.”

Beliau berkata, Malaysia terpilih menjadi tempat Pusat Komunikasi Pintasan Mesej di rantau ini kerana mempunyai rekod baik dalam aspek deradikalisasi – sejak era komunis pada 1940-an.

 

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.