
Prof Datuk Zakaria Kasa dari Majlis Profesor Negara memberi contoh sekolah di Singapura, di mana ibu bapa memainkan peranan penting memastikan prestasi akademik pelajar.
“Di Singapura, mereka menggesa ibu bapa menjadi pembantu guru. Kebanyakan mereka akan membantu pelajar semasa sesi membaca, aktiviti kelas dan banyak lagi,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata Malaysia perlu mengamalkan budaya sama daripada meletakkan tanggungjawab sepenuhnya pada guru.
Beliau menambah ibu bapa perlu lebih proaktif membantu pelajar dalam pembelajaran mereka daripada sekadar menyerahkan baton kepada guru.
Merujuk kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, beliau berkata ia tidak memenuhi inisiatif melibatkan lebih ramai ibu bapa dalam pendidikan anak-anak mereka.
“Proses pembelajaran berfungsi secara dua hala,” katanya.
“Ibu bapa tidak boleh mengharapkan guru memastikan prestasi baik semua 20 hingga 30 pelajar di setiap kelas. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan.”
Zakaria menggesa kementerian pendidikan mengehadkan jumlah pelajar setiap kelas kepada 15 orang.
“Kuantiti pelajar memberi kesan kepada prestasi akademik mereka,” katanya.
“Bagaimanapun, kalau Malaysia memutuskan untuk melaksanakan mekanisme ‘pembantu guru’, jumlah besar pelajar dalam satu kelas tidak menjadi penghalang.”
Beliau berkata tanggungjawab memastikan prestasi baik para pelajar terletak di tangan ibu bapa, guru, kementerian dan masyarakat.
Pada Mei 2015, Malay Mail Online melaporkan kualiti rendah para guru sebab utama kedudukan rendah negara dalam kajian Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mengenai pendidikan.
Memetik persatuan ibu bapa, kajian melaporkan kelemahan sistem pendidikan disebabkan pemilihan pendidik yang lemah.
Ia berkata masalah juga terletak pada pemantauan dan penilaian prestasi guru, serta imbuhan dan ganjaran untuk para guru dan pengurusan sekolah.
Laporan sebelum ini berkata keputusan UPSR 2016 yang tidak memberangsangkan disebabkan oleh kekurangan komunikasi yang jelas antara kementerian pendidikan dan Lembaga Peperiksaan.
Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim mendakwa para guru tidak tahu bagaimana untuk membantu sistem sekolah rendah beralih dari Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Beliau berkata kekurangan penyelarasan dan kefahaman dicerminkan dalam keputusan UPSR tahun lepas, yang menyaksikan 4,896 murid mendapat markah semua A – 1.11% daripada 452,721 murid yang menduduki peperiksaan tahun itu.