
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, sesetengah sekolah agama cuba menyembunyikan kes penderaan yang berlaku di sekolah mereka demi menjaga reputasi dan standard.
“Masih ada sekolah yang dalam penafian. Hanya kerana mereka adalah ‘agama’, ia tidak bermakna penderaan dan gangguan seksual tidak boleh berlaku dalam premis mereka,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, sekolah sedemikian mungkin lebih suka menyebelahi guru berbanding pelajar.
“Ada pengetua sekolah yang sama ada akan menyokong mereka atau berlengah-lengah apabila kes penderaan berlaku.”
Lebih membimbangkan, Azimah berkata, hakikat sesetengah ibu bapa enggan mendengarkan aduan anak apabila kes seperti itu berlaku, terutamanya jika ia membabitkan sekolah agama.
“Disebabkan ibu bapa ini menyokong dan mempercayai kredibiliti institusi agama tertentu, mereka enggan mendengar aduan anak,” katanya.
Beliau berkata, penderaan dan gangguan seksual boleh berlaku di mana-mana institusi pengajian dan sekolah agama tidak dikecualikan.
Sabtu lalu, seorang guru dari sebuah sekolah agama di Bandar Baru Bangi dilaporkan ditahan polis kerana disyaki mencabul 6 pelajarnya sejak 2014.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan yang dipetik Bernama berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan susulan 6 laporan dibuat ibu bapa dan penjaga mangsa pada Khamis lalu.
Berdasarkan keterangan mangsa, katanya, mereka mendakwa dicabul guru berusia 29 tahun itu ketika berada di sekolah di bawah seliaan kerajaan Selangor itu sejak 3 tahun lalu.
Othman berkata, ibu bapa dan penjaga mangsa memutuskan untuk membuat laporan polis kerana tiada tindakan diambil pihak sekolah selepas seminggu kejadian itu dilaporkan.
“Mangsa yang berusia 11 dan 12 tahun itu tidak mendedahkan perkara itu kepada sesiapa kerana malu dan takut dimarahi suspek,” katanya sambil menambah suspek direman sehingga hari ini.
Dalam pada itu, sejak kes pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi dilaporkan media, ramai pelajar mula tampil menceritakan penderaan mereka demi mendapatkan keadilan.
Thaqif yang didakwa dipukul pembantu warden asramanya, meninggal dunia pada 26 April lalu.
Dalam kes berasingan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mendakwa seorang guru agama di sebuah sekolah asrama swastanya mendera beliau dan mengugut akan menghukumnya lagi jika beliau mengadu kepada ibu bapanya.
Polis tidak cukup keterangan dakwa pembantu warden, kata KPN