
Ketua Pengarahnya, Zulkifli Abidin berkata, ia susulan laporan yang dibuat oleh seorang individu yang mendakwa telah membayar puluhan ribu ringgit bagi tujuan berkenaan.
Beliau berkata, tidak kurang 20 kes telah dilaporkan kepada jabatan itu atas kesalahan menjual pangkat kehormat Rela dengan harga antara RM10,000 dan RM30,000 kepada mereka yang mahu memberi khidmat kesukarelawanan kepada jabatan tersebut.
“Justeru, kami menyeru kepada masyarakat di negara ini agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran yang diterima berkaitan dengan jawatan atau pun pangkat kehormat dalam pasukan Rela.
“Ini berikutan tiada sebarang pembayaran perlu dilakukan terhadap jawatan kehormat Rela yang hanya boleh diberikan apabila jawatankuasa memutuskan kelayakan seseorang berdasarkan kepada status sosial atau lain-lain kelayakan mengikut Akta Rela,” katanya.
Zulkifli berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai RELA Siri 1/2017 yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ali Besar di sini hari ini.
Sementara itu, Wan Ali berkata peranan Rela dalam merakyatkan perkhidmatan awam memerlukan anggota pasukan itu menjadi pemikir, perancang dan pelaksana bagi menjayakan agenda jabatan daripada sudut transformasi kerajaan.
“Sehubungan itu, sebagai anggota penguat kuasa disifatkan paling rapat dengan masyarakat, mereka perlu sentiasa bersedia memberi komitmen sepenuhnya bagi memenuhi harapan rakyat sekali gus melonjakkan prestasi organisasi dalam memartabatkan Gelombang Kesukarelawanan Negara,” katanya.