
Hakim Mahkamah Sesyen Salawati Djambari membenarkan permohonan polis membebaskan suspek lelaki berusia 29 tahun itu dengan jaminan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebanyak RM20,000.
Suspek yang berbaju lokap berwarna jingga tiba di Mahkamah Majistret jam 12.15 tengah hari dengan diiringi 2 anggota polis sebelum dibawa masuk ke bilik pendaftar Mahkamah Kota Tinggi jam 12.45 tengah hari.
Dia kemudian dibebaskan 15 minit kemudian.
Terdahulu, Mahkamah Majistret membenarkan suspek ditahan reman 4 hari pada 23 April lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2010 dan tempoh reman tersebut dilanjutkan pada 27 April selama 3 hari lagi bagi membantu siasatan.
Kisah pelajar berkenaan, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pada 19 April lepas tersebar di media sosial selepas dilapor mengalami kecederaan pada bahagian kaki dipercayai dipukul pembantu warden madrasahnya.
Selepas kedua-dua kakinya dipotong akibat gangren pada 22 April lepas, tangan kanan Thaqif pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadualkan dipotong dari jari hingga bawah siku.
Namun, pembedahan ditangguhkan kerana jantung pelajar itu dilaporkan tidak stabil.
Bagaimanapun, pelajar itu meninggal dunia pada 26 April lalu.
Pembantu warden itu ditahan di rumahnya di Felda Lok Heng Barat pada 22 April selepas ibu mangsa membuat laporan polis.
Polis kemudian mengklasifikasikan kes kematian pelajar itu sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.