Skuad JDT tandatangan Ikrar Bebas Rasuah

Skuad JDT tandatangan Ikrar Bebas Rasuah

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor berkata, kerjasama JDT dengan SPRM untuk memenuhi hasrat dan titah Tunku Mahkota Johor supaya JDT mempunyai integriti tinggi serta bebas rasuah.

jdt-ikrar-bebas-rasuah-1
JOHOR BAHRU: Seramai 41 pemain dan pegawai kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) semalam bagi memastikan sukan bola sepak tanah air bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Menerusi kenyataan media bersama yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan JDT hari ini, pemain Safiq Rahim mengetuai upacara melafaz dan menandatangani IBR itu.

Majlis tersebut yang diadakan di sebuah hotel di sini disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim, Naib Presiden I PBNJ, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias.

Ismail dilaporkan berkata, kerjasama JDT dengan SPRM adalah untuk memenuhi hasrat dan titah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya JDT mempunyai integriti tinggi serta bebas rasuah.

Shamshun Baharin berkata, usaha yang dilaksanakan SPRM bersama JDT itu secara tidak langsung dapat mengelakkan berlaku isu rasuah dan mengatur perlawanan dalam arena bola sepak negara.

“Menerusi kerjasama ini, semua pihak sudah mempunyai tempat rujukan sekiranya rasuah dan mengatur perlawanan berlaku dalam arena bola sepak tanah air selepas ini,” katanya.

Beliau menjunjung kasih dan berterima kasih kepada Tunku Ismail yang mengorak langkah memerangi rasuah dalam arena bola sepak membabitkan JDT dan seterusnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Didakwa memihak JDT, Tunku Ismail sedia lepas jawatan FAM

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.