Madrasah Tahfiz Al-Jauhar akui tahu pembantu warden ada rekod jenayah lampau

Madrasah Tahfiz Al-Jauhar akui tahu pembantu warden ada rekod jenayah lampau

Pengurusan madrasah menggaji pembantu warden terbabit, yang dikenali "Syafiq" atas faktor mahu memberi peluang kedua kepadanya.

madrasah-mtaj
PETALING JAYA:
Pengurusan Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) mengakui pihaknya tahu rekod jenayah lampau pembantu warden yang didakwa mendera pelajar Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, yang meninggal dunia semasa menerima rawatan pada Rabu lalu.

Dalam kenyataan yang diposkan menerusi Facebook hari ini, pengurusan MTAJ yang menggelar pembantu warden itu sebagai “Syafiq” berkata, pihaknya mengambil dia bekerja selepas diberi parol dan dibebaskan awal dari penjara kerana berkelakuan baik.

“Rentetan daripada itu, kami berpendapat, andainya Pengarah Penjara mengakui dia sedang berubah dan layak diberi kebebasan awal, apakah kami sebagai ahli masyarakat tidak boleh memberi peluang kedua untuknya,” kata pengurusan MTAJ.

Mohamad Thaqif meninggal dunia Rabu lalu, seminggu selepas dia dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru ekoran kecederaan di bahagian kaki, yang didakwa akibat dirotan oleh pembantu warden asrama.

Pembantu warden terbabit kini ditahan reman bagi membantu siasatan pihak polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kenyataan itu, pengurusan MTAJ juga berkata, Syafiq telah menjalankan tugasnya dengan baik.

“Kami berani menyatakan komitmen beliau melebihi para ustaz di MTAJ ke arah berubah menjadi insan yang lebih baik. Kekurangan seorang manusia tidak sepatutnya memberhentikan dia terus menjadi manusia.

“Penyataan ini sama sekali tidak membela Syafiq ketika dia memilih untuk mengambil tindakan terhadap pelajar dengan menggunakan getah paip.

“Tetapi percayalah, ia bukan seperti yang anda gambarkan. Kami mempunyai bukti kejadian dalam rakaman kamera litar tertutup yang telah diserah kepada polis,” jelas kenyataan itu.

Mengulas mengenai surat Mohamad Thaqif yang tular di media sosial menggambarkan dirinya sedang merasa perit semasa pembelajaran, pengurusan MTAJ berkata, agak sukar pihaknya menjelaskan mengenai perkara berkenaan pada masa ini.

Bagaimanapun pengurusan MTAJ berkata, terdapat 6 keping surat lagi daripada Mohamad Thaqif yang mungkin boleh menjelaskan watak sebenarnya, yang telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.