Bukan tentang Islam, cuma Zakir Naik, kata NGO India

Bukan tentang Islam, cuma Zakir Naik, kata NGO India

Kerajaan India digesa bertanggungjawab ke atas Zakir Naik, kata 28 NGO India tempatan pada penyerahan memorandum kepada Pesuruhjaya Tinggi India.

Satees-Muniandy-zakir
KUALA LUMPUR: Kerana tidak menerima sebarang jawapan daripada kerajaan mengenai penceramah kontroversi Zakir Naik, sekumpulan 28 NGO India tempatan sebaliknya menekan kerajaan India.

Selepas tunjuk perasaan 2 jam di depan Pesuruhjaya Tinggi India hari ini, kumpulan tersebut menyerahkan memorandum yang ditujukan kepada Perdana Menteri India Narendra Modi.

Setiausaha Persatuan Kemajuan Kaum Tamil Pulau Pinang Satees Muniandy berkata, mereka berharap pihak berkuasa India akan memikul tanggungjawab memandangkan kerajaan Malaysia, “atas sebab tertentu”, tidak bertindak terhadap Zakir.

Lagipun, Zakir seorang warganegara India, katanya kepada pemberita di tunjuk perasaan tadi.

“Kita tidak mahu Malaysia jadi platform kepada Zakir menyebarkan dan menghasut kebencian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Selepas hampir 60 tahun, kita hidup aman damai. Kehadiran Zakir mengancam keadaan itu.”

Di belakangnya, seruan “Zakir Naik, pulang ke India,” dan Zakir Naik, pendatang haram” boleh didengari dari kumpulan yang berdemo.

“Ambil balik warganegara kamu. Kami tak mahu lagi bercakap dengan kerajaan Malaysia. Kami tak mahu warganegara kamu,” kata penunjuk perasaan yang seramai 30 orang tadi.

Pengerusi Persatuan Transformasi Pendidikan India Malaysia A Elangovan berkata, Zakir menimbulkan kemarahan mereka kerana bercakap mengenai agama Hindu tanpa ilmu yang mendalam.

“Kalau seorang pemimpin agama seperti (Mufti Perlis) Mohd Asri (Zainul Abidin) boleh dipengaruhi Zakir untuk bercakap buruk mengenai kerajaan India, bagaimana pula dengan orang kebanyakan?

“Mereka boleh mudah terpengaruh dengan ucapan Zakir untuk membenci orang-orang dari agama lain.

“Oleh itu, kita mahu kerajaan India mengambil tindakan dengan mendapatkan Interpol untuk mengeluarkan notis merah terhadap Zakir, atau untuk mengekstradisi beliau,” kata Elangovan.

Presiden Tamilar Kural David Marshel menambah jika kerajaan India gagal mengambil tindakan segera, terutamanya selepas memorandum hari ini, mereka mempertimbangkan untuk ke India dan memfailkan kes terhadap kerajaan India di mahkamah di sana.

“Kami sedang membincangkan kemungkinan itu dengan NGO lain dan kawan-kawan kami di India.”

Beliau berkata tunjuk perasaan itu tidak ada kaitan dengan Islam atau penceramah Islam lain.

“Kami hanya membantah Zakir, kerana dia mengancam kehamornian agama di negara ini.”

Memorandum diserahkan kepada S Ramakrishnan, attache buruh di Pesuruhjaya Tinggi India.

Agensi Siasatan Kebangsaan India mengeluarkan notis meminta Zakir pulang ke negaranya untuk disoal siasat.

Pihak berkuasa juga memfailkan kes pengubahan wang terhadap Zakir, sementara Yayasan Kajian Islam yang berkaitan dengannya dituduh menghasut orang Islam dan mengalakkan permusuhan antara masyarakat berbeza.

Awal bulan ini, Zakir, semasa menghadiri acara pemberian anugerah anjuran Perkasa, mendakwa beliau akan diseksa jika pulang ke India.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.