Hadi akhirnya saman Clare Rewcastle Brown

Hadi akhirnya saman Clare Rewcastle Brown

Ia susulan artikel disiarkan Sarawak Report yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS untuk mereka menyokong BN dan Umno.

takiyuddin2
ALOR SETAR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya memfailkan saman fitnah terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Bercakap pada sidang media di luar Muktamar Dewan Pemuda PAS di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, hari ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi London pada 21 April lalu.

Ia susulan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos tahun lalu yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS sebagai usaha Datuk Seri Najib Razak “menarik” kepimpinan parti Islam itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.

Takiyuddin berkata, PAS menuntut ganti rugi “besar”, tetapi enggan mendedahkan jumlahnya. Parti itu turut memohon injunksi terhadap artikel bertajuk “As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many Other Criminal Connections – COMMENT”.

Takiyuddin berkata, artikel itu boleh membayangkan Hadi secara peribadi menerima suapan besar daripada perdana menteri sebagai pertukaran untuk PAS berkompromi dari segi pendirian politiknya.

“Ini tuduhan tidak benar sama sekali.

“Dakwaan rasuah seperti ini jelas merosakkan reputasi presiden PAS yang menunjukkan komitmen kepada proses demokrasi untuk tempoh lama, di mana falsafah politik dan tindakannya jelas mencerminkan beliau berpegang teguh kepada prinsip serta ajaran Islam.”

Takiyuddin berkata, peguam PAS di London, Carter-Ruck sudah menghantar notis undang-undang kepada Clare akhir tahun lalu bagi menuntut permohonan maaf daripada pengasas Sarawak Report itu dan menarik balik artikel berkenaan.

“Tetapi, beliau gagal memberi maklum balas, sebaliknya mengeluarkan beberapa kenyataan umum yang merumitkan lagi isu itu.”

Takiyuddin berkata, Hadi tiada pilihan kecuali mengambil tindakan undang-undang akibat keseriusan tuduhan itu yang merosakkan reputasinya.

Terdahulu, parti Islam itu dilaporkan menubuhkan sebuah tabung khas untuk mengutip derma daripada perwakilan Muktamar PAS yang sedang berlangsung di Alor Setar, Kedah, bagi membayar kos guaman “mahal” saman itu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kos guaman berjumlah RM200,000 itu dijangka dapat dikutip dalam tempoh beberapa hari lagi.

Sebelum ini, PAS berkata, kelewatan memulakan tindakan undang-undang itu adalah hasil daripada usaha untuk menghimpunkan saksi bagi kes itu.

 

Saman Sarawak Report: Ahli PAS derma £13,000

Sarawak Report: Belum ada notis saman PAS sampai hari ini

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.