Kes pelajar dipotong kaki: Pengetua sekolah tahfiz ‘kunci mulut’

Kes pelajar dipotong kaki: Pengetua sekolah tahfiz ‘kunci mulut’

Pengetua pusat tahfiz swasta di Kota Tinggi itu, Mohammad Afdhaluddin Ismail berkata, sidang media akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjelaskan dakwaan seorang pelajarnya dirotan pembantu warden asrama.

Tahfiz
JOHOR BAHRU: Pihak pengurusan sebuah sekolah tahfiz swasta di Kota Tinggi terus “mengunci mulut” berhubung dakwaan Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi dirotan pembantu warden asrama sehingga menyebabkan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong.

“Saya tak ada sebarang komen, tunggu sidang media yang akan dibuat dalam masa terdekat,” kata pengetua sekolah itu, Mohammad Afdhaluddin Ismail kepada FMT di Hospital Sultan Ismail (HSI) hari ini.

Terdahulu, beliau bersama 10 pelajarnya melawat Thaqif kira-kira 40 minit. Ini merupakan kali ke-2 beliau melawat Thaqif di HSI.

Pusat tahfiz yang sudah 7 tahun beroperasi itu mempunyai 110 pelajar berusia 11 hingga 17 tahun dan 15 kakitangan, termasuk 6 guru.

Kisah Thaqif, 11, dimasukkan ke HSI di Johor Bahru, minggu lalu menjadi tular di media sosial. Beliau didaftar masuk ke pusat tahfiz itu pada 27 Januari lalu.

Thaqif dilaporkan mengalami kesakitan pada bahagian kaki sejak 2 minggu lepas dipercayai akibat dipukul pembantu warden.

Kedua-dua kakinya yang dijangkiti kuman serta darah beku kemudiannya terpaksa dipotong dan keadaan Thaqif semakin membimbangkan selepas doktor mengesan darah beku di lengan kirinya, semalam.

Ibu saudara mangsa, Dzuraidah Ahmad dilaporkan berkata, tangan kanan Thaqif mungkin dipotong kerana ia sudah bertukar hitam sehingga paras siku.

Seorang pembantu warden tersebut direman 4 hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Hari ini, sebuah pertubuhan bertanggungjawab hal ehwal sekolah tahfiz di Malaysia mempertahankan tindakan pembantu warden di sekolah tahfiz itu yang didakwa memukul Thaqif.

Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd Zahid Mahmood mendakwa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah terbabit menunjukkan Thaqif hanya dipukul di tapak kakinya sahaja.

Ibu dakwa pelajar tahfiz dipotong kaki akibat dipukul pembantu warden

Selepas kaki, pelajar tahfiz mungkin hilang tangan kanan

CCTV rakam Thaqif dipukul di tapak kaki, dakwa gabungan sekolah tahfiz

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.