
Zahid, yang kini menjalankan tugas-tugas timbalan presiden Umno berkata, siswazah perlu membawa perubahan yang berdasarkan kepada perpaduan intelektualisme dan kerohanian di Kelantan.
Kata beliau, perpaduan intelektualisme dan kerohanian penting untuk menjana momentum perubahan di negeri Pantai Timur yang jatuh ke tangan PAS pada pilihan raya umum 1999.
Beliau berkata demikian kepada Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak) pada majlis Malam Gelombang Merah semalam, yang diadakan di Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.
“Perlu ada perubahan dalam minda rakyat. Kecerdasan perlu bersepadu dengan emosi dan bergerak seiring dengan pendekatan intelektual yang tinggi dan disokong paras kerohanian yang seimbang,” kata Zahid yang juga timbalan pengerusi Barisan Nasional.
Dipetik Bernama, beliau menyeru rakyat negeri itu supaya mengetepikan perbezaan dengan siswazah dan ilmuan dari Kelantan demi memulakan perubahan.
Perubahan turut menjadi intipati ucapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada Dialog TN50 peringkat Kelantan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan semalam.
Mustapa, Pengerusi Umno Kelantan berkata, negeri itu akan terus ketinggalan dalam arus pembangunan sekiranya minda rakyat tidak berubah.
“Rakyat Kelantan perlu berfikiran positif dan menerima hakikat dengan tuntutan semasa untuk mereka berubah mulai sekarang,” kata beliau yang mesra dikenali sebagai “Tokpa” dalam laporan dipetik Bernama.
Dalam dialog itu, peserta yang terdiri daripada golongan muda mengharapkan penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan, perhatian serius kepada kegiatan pembalakan di negeri mereka, pemeliharaan kesenian dan kebudayaan masyarakat serta penyediaan kemudahan sukan.
Sebelum ini, ahli DAP dan bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim turut menggesa anak muda menyelamatkan ekonomi Kelantan yang “lumpuh”, akibat diperintah oleh pemimpin yang gagal dan tidak mampu membangunkan negeri mereka.
“Negeri ini sudah terlalu lama hambar dan terbiar,” kata Zaid di Konvensyen Anak Muda Kelantan 15 April lepas.