Jangan sia-siakan pesara sihat, syor MEF

Jangan sia-siakan pesara sihat, syor MEF

Shamsuddin Bardan yang menyifatkan pesara sebagai "bekalan sumber manusia alternatif" berkata, pengambilan mereka boleh mengurangkan pergantungan kepada pekerja-pekerja asing.

shamsuddin-bardan_mer_kerja_600
PETALING JAYA:
Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mengesyorkan kerajaan mewujudkan satu mekanisme khusus bagi membolehkan pihak majikan menggunakan kalangan mereka yang telah bersara sebagai tenaga kerja.

Bercakap kepada FMT, Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, jumlah pekerja Malaysia akan bersara setiap tahun dianggarkan kira-kira sejuta orang.

“Oleh itu adalah baik jika kita mempunyai satu dasar untuk memanfaatkan tenaga kerja seperti itu,” kata beliau.

Beliau yang menyifatkan pesara sebagai “bekalan sumber manusia alternatif” berkata, pengambilan mereka boleh mengurangkan pergantungan majikan kepada pekerja-pekerja asing.

“Dalam keadaan di mana anda mampu untuk memanfaatkan tenaga kerja anda sendiri, sumber anda sendiri, aliran keluar wang Malaysia akan lebih terkawal dan ini akan memperkayakan lagi ekonomi tempatan,” kata beliau lagi.

Shamsuddin diminta mengulas kenyataan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramanian baru-baru ini mengenai kemungkinan perlu untuk meningkatkan umur persaraan pada tahun 2050.

Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, berkata demikian merujuk kepada data baru diperoleh menunjukkan lebih daripada setengah juta rakyat Malaysia akan hidup sehingga 90 tahun pada 2050.

“Jika kita mengekalkan umur persaraan semasa pada 60 tahun, golongan muda tidak akan dapat menyokong generasi yang lebih tua,” katanya.

Shamsuddin tidak mencadangkan undang-undang khusus bagi majikan meningkatkan umur persaraan.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar pekerja yang mencapai umur persaraan dibenarkan untuk secara sukarelawan terus bekerja bergantung kepada keperluan majikan dan sama ada pekerja berkenaan masih dapat menyumbang perkhidmatan mereka.

“Dengan itu dapat melihat prestasi pekerja berkenaan dan keadaan kesihatan mereka,” kata beliau.

“Jika pekerja tidak melaksanakan atau jika kesihatannya tidak membenarkan dia untuk terus bekerja, syarikat tidak boleh dipaksa untuk menjaga dia.”

Katanya, faktor-faktor tertentu membolehkan lebih baik mengekalkan kakitangan berumur berbanding golongan muda menggantikan mereka.

“Jelas sekali, kemahiran dan pengalaman adalah pertimbangan. Ia juga berkemungkinan pekerja yang lebih tua akan menunjukkan kesetiaan kepada syarikat. Itulah sebabnya dia berkhidmat sehingga usia 60 tahun.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.