Undang-undang sisa elektronik kuat kuasa selewat-lewatnya akhir tahun depan

Undang-undang sisa elektronik kuat kuasa selewat-lewatnya akhir tahun depan

Kerajaan mahu memperkenalkan sistem baharu mengumpul sisa barangan elektrik dan elektronik seperti telefon bimbit.

wan-junaidi-sampah-electronik
TANGKAK: Undang-undang berkaitan sistem pengurusan dan pelupusan bahan buangan dan sisa elektrik dan elektronik (E-sisa) akan dikuatkuasakan sebelum akhir tahun depan, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata perincian berhubung perundangan itu masih di peringkat perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan memperkenal beberapa peraturan berkaitan perkara itu.

“Kita akan perkenalkan sistem baharu untuk mengumpulkan semua sisa-sisa bahan buangan dari yang sekecil telefon bimbit hinggalah barangan elektrik dan elektronik yang besar termasuk yang berada di pejabat.

“Jika tidak dikendalikan dengan betul, ia akan mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pengumpulan barangan buangan elektrik dan elektronik isi rumah sempena Sambutan Hari Bumi Sedunia di Dataran Ledang, di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Dr Hamim Samuri dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat.

Pada majlis itu, Parlimen Tangkak mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records atas kejayaan mengumpul sebanyak 36,144 kilogram sisa barangan buangan elektrik dan elektronik isi rumah.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata seiring dengan perkembangan teknologi, berlaku peningkatan yang ketara terhadap penggunaan barangan elektrik dan elektronik pada setiap isi rumah khususnya telefon bimbit.

“Sekiranya sistem pengurusan sisa barangan buangan elektrik dan elektronik ini tidak dibangunkan segera, ia mampu memberi implikasi besar terhadap manusia dan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata apabila undang-undang berkenaan diperkenalkan, secara tidak langsung mewujudkan industri pengumpulan sisa barangan elektrik dan elektronik sekali gus menjadikan industri baharu di negara ini.

Beliau berkata ketika ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang bekerjasama dengan Japan International Cooperation Agency (JICA) bagi membangunkan sistem pengurusan E-sisa rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.