Seruan Permaisuri Johor hormat bukan Islam ‘penting’ bagi Malaysia, kata DAP

Seruan Permaisuri Johor hormat bukan Islam ‘penting’ bagi Malaysia, kata DAP

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata, pihaknya akan menggembleng usaha untuk bergerak selaras dengan seruan yang dititahkan Raja Zarith Sofiah.

Sheikh-Omar-Ali-raja-zarith
PETALING JAYA: DAP Johor menyifatkan titah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah semalam agar umat Islam negara ini menunjukkan rasa hormat yang sama kepada warga yang tidak seagama dengan mereka sebagai “penting” mengambil kira landskap sosial semasa di Malaysia.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata, lontaran seruan dan pandangan baginda begitu tidak asing, malah selari dengan gagasan yang digarap oleh DAP semenjak awal penubuhannya sehingga kini iaitu menghormati kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Malah, titah baginda dilihat begitu penting kerana landskap sosial semasa hari ini seringkali menyaksikan sentimen sempit keagamaan dijadikan alat bagi mencapai sesuatu kepentingan sehingga menjejaskan keharmonian beragama sesama rakyat.

“Hal ini juga adalah amat jauh sekali dari apa yang telah diilhamkan oleh bapa-bapa pendiri Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu, kata Sheikh Omar, pihaknya akan menggembleng usaha untuk bergerak selaras dengan seruan yang dititahkan oleh Raja Zarith Sofiah.

Katanya, DAP juga akan kekal komited untuk membina sebuah Malaysia untuk rakyatnya yang harmoni dengan kepelbagaian tanpa membeza-bezakan warna kulit, kepercayaan, bahasa dan budaya serta menolak sama sekali sebarang inisiatif yang berbaur perkauman dan kebencian.

Menulis di laman Facebook semalam, Raja Zarith Sofiah mahu umat Islam di negara ini menunjukkan rasa hormat yang sama kepada warga yang tidak seagama dengan mereka.

Kata baginda, umat Islam di Malaysia adalah bernasib baik kerana mereka tidak tahu bagaimana rasanya menjadi sebahagian daripada kumpulan minoriti.

Kata Raja Zarith Sofiah, bagi yang pernah belajar atau menetap di luar negara, “kita tahu apa rasanya menjadi ahli kumpulan minoriti, dan kita belajar untuk menyesuaikan diri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.