
Seorang ahli keluarga, David Vellasamy, mahu polis mengadakan siasatan lanjut ke atas kes itu kerana penjelasan yang diberikan dikatakan tidak masuk akal.
“Mereka beritahu kamera litar tertutup tertutup (CCTV) di hospital rosak,” kata Vellasamy kepada pemberita selepas tunjuk perasaan oleh NGO dan ahli keluarga di Bukit Aman hari ini.
Vellasamy menjelaskan mereka mahu menonton rakaman CCTV bagi menentukan punca kematian kanak-kanak itu.
Bercakap bagi pihak ibu, Vellasamy, yang merupakan bapa saudara kepada Lanariya Wilbert, 4 tahun, berkata hati si ibu hancur luluh kerana tiada tindakan lanjut dalam kes ini.
“Kami minta mereka tunjukkan rakaman CCTV sebagai bukti tetapi permintaan kami tidak didengari.”
Beliau berkata kes Lanariya tidak diambil serius dan menganggap mereka yang bertanggungjawab sengaja merahsikan kebenaran daripada ahli keluarga.
Beliau percaya Lanariya akan hidup sekiranya diberi rawatan segera dan sebaik mungkin.
Sebelum ini, Berita Daily melaporkan Lanariya meninggal dunia 20 Mac lepas di unit rawatan rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Dilaporkan hospital mendakwa kanak-kanaj itu mati 1 jam sebelum tiba.
Bagaimanapun, menurut ahli keluarga, alasan itu tidak masuk akal kerana Lanariya diperiksa seorang doktor di sebuah klinik swasta di Kapar kira-kira 20 minit sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran.
Sebelum ini sekumpulan NGO mempertikaikan laporan itu menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) meminta rakaman CCTV ditonton bagi menentukan cerita sebenar kejadian.
Presiden Organisasi Penggerak Sosial dan Minda Nambikkai Kalai Vanar, yang hadir di tunjuk perasaan hari ini berkata, laporan yang diberikan hospital tidak boleh diterima dan mahu siasatan penuh dijalankan.