Pelajar maut leher tersangkut kabel elektrik tumbang

Pelajar maut leher tersangkut kabel elektrik tumbang

Rakan mangsa cuba mengelak kabel tiang elektrik terjatuh di sebelah kiri jalan, tetapi kabel itu tersangkut di leher mangsa yang duduk di belakang motosikal.

tiang-elektrik
IPOH:
Seorang pelajar sekolah menengah maut apabila kabel elektrik terjatuh sebelum tersangkut di lehernya ketika sedang membonceng sebuah motosikal, di KM5 Jalan Bota Kiri-Tanjung Blanja, kira-kira 70km dari sini, petang tadi.

Nurul Huda Ashira Abdullah, 16, beralamat dari Bota Kanan, maut di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Zainal Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa menaiki motosikal jenis Honda Ex5 yang ditunggang rakan perempuannya berusia 15 tahun, dalam perjalanan dari arah Parit menghala ke Bota.

“Setibanya di tempat kejadian yang ketika itu hujan lebat, tiba-tiba kabel tiang elektrik di sebelah kiri jalan terjatuh.

“Penunggang motosikal berkenaan cuba mengelak, tetapi kabel tersebut tersangkut di leher mangsa yang duduk di belakang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zainal berkata, penunggang motosikal berkenaan bagaimanapun mengalami kecederaan ringan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.