
“Kita akan buat akta baru yang akan diperkenalkan pihak Kastam pada sesi Parlimen akan datang.
“Kita akan kenakan tindakan undang-undang pada mereka yang jual rokok seludup.
“Rokok ini juga memudaratkan kesihatan, selain harganya yang murah akan mendorong pelajar sekolah membelinya,” kata Johari selepas merasmikan Program Komuniti Sihat Tanpa Asap Rokok di Kampung Pandan hari ini.
Mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, pihak yang didapati bersalah memiliki rokok seludup boleh disabitkan kesalahan dan didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Namun, kata Johari sehingga kini tiada kesalahan dalam akta berkenaan yang boleh dikenakan terhadap penjual rokok seludup.
“Tindakan dan operasi bersepadu Kastam dengan agensi berkaitan akan dipergiatkan untuk membanteras import rokok seludup di negara ini.
“Penghisap rokok seludup ini mencecah 50% daripada jumlah perokok di negara ini.
“Ini bermakna duti eksais kita sudah banyak hilang,” kata beliau.
Johari juga berkata, meningkatkan duti eksais akan mengurangkan jumlah perokok dan mengurangkan risiko penyakit berkaitan rokok yang mana boleh menjimatkan kos perubatan yang ditanggung oleh kerajaan.