
Pengumuman itu sekali gus menutup spekulasi kononnya beliau akan berpindah ke bahagian lain termasuk ada laporan media yang menyebut kemungkinan akan bertanding di Kedah.
Kit Siang berkata, kerusi parlimen Gelang Patah yang dimenangi pada 2013 akan menjadi “pilihan pertama” beliau.
Bagaimanapun beliau bersedia untuk mempertimbangkan dengan serius mana-mana kawasan lain sekiranya ada sebab-sebab strategik untuk berbuat demikian.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pemimpin DAP Kedah yang meletakkan “keyakinan” dan memintanya bertanding di negeri itu semasa mengadakan lawatan ke Alor Setar semalam.
Pemimpin berusia 76 tahun ini ini berkata, beliau berhadapan dengan satu persoalan yang amat penting sama ada beliau harus berundur selepas berkecimpung dalam politik sejak 51 tahun yang lepas.
“Saya telah berada dalam politik Malaysia selama 51 tahun, sejak penubuhan DAP pada tahun 1966,” kata beliau.
“Jika saya bertanding dalam PRU14, pilihan pertama saya Gelang Patah,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan selepas melakukan tinjauan mesra di Kangkar Pulai pagi ini.
Beliau menjadi sasaran poster baru-baru ini yang membawa mesej “Pernahkah anda melihat Uncle Lim Kit Siang?”. Poster itu dipasang berhampiran pusat khidmat DAP di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah. Selain itu, satu kain rentang yang menyebut “Di mana Uncle Lim Kit Siang? Gelang Patah merindui kamu.”
Kit Siang berkata, beliau menjelajah ke seluruh negara untuk mempromosikan kempen DAP “Selamatkan dan Memulihkan Malaysia”.
“Saya menyeru kepada pengundi Gelang Patah, tanpa mengira kaum, agama mahupun parti politik, agar mengetuai gerakan Selamatkan dan Memulihkan Malaysia kerana kita semua mencintai Malaysia, tidak mahu Malaysia terjerumus ke dalam kleptokrasi global dan terperangkap dalam trajektori yang menjadikan negara sebagai sebuah negara yang gagal dan penyangak.
“Ini adalah mengapa saya telah mencatatkan perjalanan hampir 20,000 kilometer dalam tempoh tiga bulan lalu, perjalanan di seluruh Malaysia, yang meliputi hampir semua 13 negeri, untuk menyebarkan mesej untuk Selamatkan dan Memulihkan Malaysia dan ia menjadi isu penting dalam PRU14.”
Kit Siang berkata, beliau menjadi sasaran serangan kedua-dua spektrum dalam Barisan Nasional (BN).
Memanggilnya sebagai ‘orang yang hilang’ dengan meletakkan poster dan kain rentang adalah serangan yang diilhamkan MCA, kata beliau sambil berkata, ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa pula menawarkan hadiah wang tunai kepada mereka yang boleh menghasilkan esei atau karya terbaik, berkisar pada tajuk “LKS seorang rasis, anti-Islam dan seorang diktator selama 51 tahun, adakah benar?”
Bagaimanapun beliau dengan sinis berkata, beliau tidak tahu yang Annuar kini menjadi seorang ahli politik yang begitu terdesak sehingga sanggup menaikkan tawaran hadiah daripada RM10,000 kepada RM50,000 dalam masa kurang daripada 24 jam.
Beliau juga membidas Annuar sebagai “seorang ahli politik bertaraf rendah dan tidak bertanggungjawab” untuk membuat tuduhan terhadapnya dan mencari bukti untuk menyokong dakwaan mereka.
Beliau juga menuduh Umno mewujudkan dakwaan-dakwaan tidak berasas dan “mimpi ngeri” dalam kalangan pengundi Melayu bahawa jika Umno kalah dalam PRU14, kononnya DAP yang anti-Melayu dan anti-Islam akan memerintah Malaysia, dan semua parti lain sama ada PKR, Amanah atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia, akan menjadi tali barut DAP.
Kit Siang juga merujuk kepada kenytaan ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang semasa lawatan ke Felda Mempaga dekat Bentong dengan mendakwa orang Melayu akan dipinggirkan jika rakyat menyokong pembangkang kerana ia serupa dengan tindakan memilih DAP untuk menjadi kerajaan akan datang.
“Tetapi apabila Majlis Presiden Pakatan Harapan menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebagai anggota, propagandis Umno dan ‘cybertrooper’ Umno menuduh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir (pengerusi PPBM) cuba untuk merampas Pakatan Harapan,” kata beliau.
Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan sikap talam 2 muka dan propaganda tidak berprinsip Umno yang menuduhnya mendominasi Pakatan Harapan, dan pada masa yang sama menuduh Dr Mahathir mahu merampas dan mendominasi Pakatan Harapan.