Polis sarat hutang dipantau, kata Nur Jazlan

Polis sarat hutang dipantau, kata Nur Jazlan

Timbalan menteri dalam negeri berkata kegagalan menguruskan kewangan dengan bijak bukan saja membawa kepada muflis, tetapi tindakan disiplin juga boleh dikenakan terhadap mereka.

nur-jazlan
KUALA LUMPUR: Tindakan drastik boleh diambil terhadap pegawai polis yang tidak menguruskan hutang mereka dengan baik, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, hari ini.

Beliau berkata tindakan itu – termasuk dibuang daripada perkhidmatan boleh dikenakan terhadap pegawai yang gagal mengisytiharkan hutang mereka dengan telus kepada pegawai atasan.

“Kegagalan menguruskan kewangan dengan bijak bukan saja boleh menyebabkan bankrap tetapi tindakan disiplin juga boleh dikenakan,” katanya di Dewan Rakyat.

Nur Jazlan berkata sesetengah pegawai tidak telus ketika mengisytiharkan hutang mereka sementara ada anggota muda dan baharu menjalani hidup di luar kemampuan masing-masing.

“Selain pendapatan yang ditolak oleh polis, mereka ambil pinjaman beli rumah, perabot dan kereta tanpa memaklumkan kepada pegawai atasan,” katanya.

Beliau berkata pegawai yang mempunyai baki pendapatan bulanan di bawah 40% daripada pendapatan sedang dipantau kerana kajian menunjukkan keadaan kewangan anggota polis membuka kemungkinan kepada mereka terbabit dalam rasuah, sekali gus berpotensi tinggi menyebabkan persepsi negatif terhadap pasukan itu.

Nur Jazlan berkata polis memantau anggota yang bermasalah seperti itu walaupun keadaannya belum sampai ke tahap serius.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anuar Abdul Manap (BN – Sekijang) mengenai tahap masalah hutang dalam kalangan pegawai polis seperti dibangkitkan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) polis, DCP T Narenasagaran baru-baru ini,

Narenasagaran dilaporkan berkata ramai anggota polis di Malaysia termasuk pegawai berdepan masalah kewangan yang serius, dengan ada mengambil pinjaman untuk gaya hidup yang melebihi kemampuan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.