Pakar: Penguatkuasaan ketat elak ibu bapa abai anak

Pakar: Penguatkuasaan ketat elak ibu bapa abai anak

Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, di barat, ibu bapa cuai dikenakan tindakan undang-undang, tetapi pengabaian anak di Malaysia berlaku kerana tiada penguatkuasaan ketat undang-undang.

johor_basikal_lemas_600
KUALA LUMPUR:
Suasana sedih yang menyelubungi keluarga 8 remaja di Johor Bahru yang maut dalam rempuhan kereta ketika berbasikal pada awal pagi 18 Februari lalu, belum pun reda.

Kini, tercetus pula tragedi 8 kanak-kanak lemas ketika menangguk ikan di anak Sungai Selangor di Kampung Timah, Bukit Beruntung, Rawang, Jumaat lepas.

Mereka dihanyutkan arus deras akibat air pasang besar berikutan fenomena kepala air.

Sebelum itu, pada 4 Februari lalu, 3 kanak-kanak termasuk 2 beradik lemas dalam kolam bekas lombong bauksit dekat Kuantan, ketika bermain berhampiran kolam berkenaan.

Dalam semua tragedi itu, hampir semua mangsa adalah remaja atau sedang meningkat remaja, pastinya ini satu kehilangan besar kepada masyarakat.

Banyak pihak berpendapat, kes seumpama ini dapat dielakkan jika ibu bapa lebih prihatin dan mengawasi pergerakan anak.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berpesan kepada ibu bapa “biar anak yang menangis, jangan kita yang menangis”.

Pakar Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, ahli keluarga terutamanya ibu bapa perlu lebih prihatin serta memahami tanggungjawab mereka sebagai pelindung anak.

“Kanak-kanak berumur bawah 18 tahun dikategorikan bawah umur dan perlu sentiasa dipantau aktiviti dan pergerakan mereka, walau di mana jua mereka berada.

“Jika anak-anak di rumah perlu dipantau, apatah lagi jika berada di luar rumah.

“Kemalangan atau kes buruk boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana jua tanpa disedari,” katanya kepada Bernama hari ini.

Aziah berkata, ibu bapa perlu sedar mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya terdapat unsur pengabaian dalam menjaga anak masing-masing.

“Akta Kanak-kanak 2001 berhubung pengabaian ke atas kanak-kanak perlu dikuatkuasakan supaya ibu bapa atau penjaga di Malaysia lebih prihatin.

“Jika pengabaian ini berlaku di barat, sudah pasti ibu bapa dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Menurutnya, kecuaian ibu bapa di negara ini dalam penjagaan anak akibat tiada penguatkuasaan ketat undang-undang berkenaan.

Sementara itu, peguam Farhan Maaruf berkata, kesalahan mengabai penjagaan kanak-kanak boleh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Seseorang itu tidak harus membiarkan anak-anak berkeliaran sendirian, apalagi kalau mereka berkelah di sungai.

“Jika terbukti ibu bapa tahu anak mereka pergi ke sungai tanpa seliaan orang dewasa, maka ibu bapa itu boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen tersebut,” katanya.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, anak perlu dididik agar memaklumkan ibu bapa tentang aktiviti yang ingin dilakukan atau lokasi yang ingin mereka tuju bersama rakan.

“Ibu bapa atau penjaga sewajarnya menasihat atau melarang anak mereka melakukan aktiviti yang boleh membahayakan keselamatan mereka.

“Ibu bapa juga perlu memeriksa secara mengejut kegiatan harian anak dan masyarakat setempat bertindak jika terdapat kanak-kanak melakukan aktiviti berbahaya,” katanya.

Sementara itu, Mastura Ahmad, 30, ibu kepada 2 anak berumur 8 dan 9 tahun berkata, beliau lebih yakin dengan corak pendidikan ibu bapa zaman lampau yang bersikap tegas.

“Biarlah kita jadi ibu bapa yang garang pada anak-anak, asalkan nyawa mereka tidak tergadai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.