Polis: Pemilik kelongsong pelancar roket belum dikenal pasti

Polis: Pemilik kelongsong pelancar roket belum dikenal pasti

Pelancar roket itu dipercayai mungkin digunakan oleh mana-mana agensi dalam sesi latihan di laut.

pulau-kendi-rocket
GEORGE TOWN:
Polis masih belum mengenal pasti pemilik sebuah kelongsong pelancar roket yang ditemukan nelayan kira-kira 34 batu nautika ke barat daya Pulau Kendi dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Anuar Omar berkata maklumat mengenai penemuan objek sepanjang 1.5 meter dengan ukur lilit 0.4 meter itu dihantar kepada agensi yang memiliki pelancar seumpama itu termasuk pihak tentera.

“Namun setakat ini masih belum ada maklum balas daripada pihak berkenaan dan yang pastinya ia bukan milik polis,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pelancar roket dengan nombor siri PN 050-0900-134-1, SN-672, Batch:9005 itu dipercayai mungkin digunakan oleh mana-mana agensi dalam sesi latihan di laut.

Sabtu lepas, polis menerima laporan berhubung penemuan objek tersebut oleh seorang tekong bot warga Indonesia, yang sedang menangkap ikan di lokasi berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari.

Menurut Anuar siasatan awal mendapati ia adalah pelancar roket yang sudah digunakan dan perkara itu dimaklumkan kepada pegawai penyiasat jenayah dan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.