‘Tak benar kos tinggi punca pesakit ke klinik gigi tak bertauliah’

‘Tak benar kos tinggi punca pesakit ke klinik gigi tak bertauliah’

Tidak ada unit khas untuk mengekang kewujudan doktor dan klinik pergigian tidak bertauliah terbabit dan sukar untuk Kementerian Kesihatan mengenal pastinya.

Kementerian-Kesihatan
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menolak dakwaan sesetengah pihak mendapatkan rawatan di klinik pergigian tidak bertauliah disebabkan kos tinggi dikenakan klinik bertauliah.

Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian KKM, Datuk Dr Noor Aliyah Ismail berkata, kos yang dikenakan adalah setanding dengan perkhidmatan diberikan dan setakat ini tiada aduan diterima pihaknya berhubung kewujudan doktor dan klinik pergigian tidak bertauliah.

“Ia tidak mahal kalau dibandingkan dengan kualiti perkhidmatan diberikan sebab apabila sesuatu rawatan yang diberi dan tidak dilaksanakan dengan betul, kita ingin mengatasi mudarat hasil daripada perubatan tidak diiktiraf itu.

“Tetapi, masalah kes begini tidak dipaparkan. Kita tidak tahu apabila tidak mendapat aduan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Kolaborasi Kesihatan Pergigian dan Badan Agama di Masjid Negara, hari ini.

Pada 2 Februari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, caj rawatan pergigian bagi pesakit luar di hospital kerajaan kekal pada kadar sama kerana kerajaan terus komited memberi subsidi tinggi kepada rakyat.

Katanya, pesakit luar hanya perlu membayar RM2 bagi perkhidmatan penskaleran dan penggilapan gigi (cuci gigi), RM2 untuk tampalan gigi dan RM1 untuk cabutan gigi.

Ia susulan jaminan Menteri Kesihatan, Dr S Subramaniam yang rakyat akan terus menikmati penjagaan kesihatan bersubsidi, dengan pesakit kelas ke-3 terus menerima perkhidmatan rawatan perubatan percuma dan hanya bayaran bagi pesakit wad kelas pertama dan ke-2 disemak kerana ia sudah lama tidak dilakukan.

Mengulas lanjut, Aliyah berkata, kerajaan akan bertindak jika menerima aduan orang ramai berhubung kewujudan doktor dan klinik pergigian tidak bertauliah, tetapi amat sukar untuk mengenal pasti masalah itu kerana tiada unit khas bagi mengekang kewujudannya.

“Kalau kita lihat klinik yang menyediakan rawatan pergigian, terutama di swasta ada pengalaman mereka. Kita ingin mendidik orang ramai bila pergi mendapatkan rawatan, tengok di manakah sijil pengamalan yang diiktiraf itu.

“Kalau orang itu tidak ada sijil amalan yang dipaparkan di dalam klinik, itu adalah satu petanda ada yang tidak kena dengan perkhidmatan diberikan.

“Jadi, kita mohon orang ramai kalau tahu ada pengamalan tidak begitu iktiraf, boleh adu kepada kaunselor dan pihak pergigian serta kami akan bertindak,” katanya.

Ada yang bimbang dengan rawatan pergigian di negara ini susulan kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, menantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik pergigian di Bangsar, tahun lalu.

 

Cabut gigi klinik kerajaan RM15 mulai Mac?

Caj rawatan gigi pesakit luar di hospital kerajaan kekal

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.