Remaja pandu Gen-2 lawan arus didakwa salah guna dadah

Remaja pandu Gen-2 lawan arus didakwa salah guna dadah

Ng Pei Ven dibebaskan dengan jaminan RM5,000 selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengambil dadah berbahaya, sebelum kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan.

 

teen-driver2
BUKIT MERTAJAM: Pemandu remaja yang memecut melawan arah trafik di Lebuhraya Utara-Selatan, Selasa lalu, didakwa menyalahgunakan dadah di Mahkamah Majistret hari ini.

Ng Pei Ven, 19, dari Butterworth didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil dadah berbahaya.

Dia kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara 2 tahun dan/atau denda RM5,000. Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah.

Pegawai Pendakwa ASP Md Azman Kadir meminta mahkamah menetapkan ikat jamin tinggi memandangkan kes itu menjadi perhatian umum.

Beliau turut memohon mahkamah menggantung lesen memandu Ng kerana mengakibatkan kematian pemandu lain dan Ng wajid menjalani ujian air kencing setiap minggu, jika dia dibebaskan dengan ikat jamin.

Ng yang tidak diwakili peguam merayu Majistret Jamaliah Abd Manap mengurangkan jumlah ikat jamin itu.

Katanya, dia tidak bekerja dan bapanya ialah seorang mekanik motosikal dan ibunya seorang ejen insurans.

Pada jam 7.50 pagi Selasa lalu, Ng yang memandu Proton Gen-2 melanggar 3 kenderaan sebelum membuat pusingan U beberapa meter dari Plaza Tol Sungai Dua dan memecut melawan arah trafik sejauh 5km di Km 134 Lebuhraya Utara-Selatan di Seberang Perai Tengah.

Ia kemudiannya merempuh Perodua Kelisa yang dipandu pekerja kilang, Mohamad Fandi Rosli, menyebabkan bakal bapa berusia 26 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Kereta dipandu remaja itu turut merempuh 5 kenderaan lain, termasuk sebuah van kilang dan motosikal.

Ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine. Bagaimanapun, polis kelmarin berkata “ia bukan methamphetamine, sebaliknya hanya amfetamina”.

JKM, polis sahkan remaja pandu Gen-2 lawan arus ialah OKU

Remaja buat pusingan U selepas terbayang lori?

Gen-2 dipandu lawan arus di lebuh raya PLUS, 1 maut

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.