
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari 2012 hingga 2016, sebanyak 3,318 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan berlaku dalam keluarga yang mempunyai krisis rumah tangga.
Selain itu, katanya, pengabaian dan kecuaian ibu bapa serta penjaga sama ada secara sengaja mahupun tidak, turut menyumbang kepada kadar kes penderaan kanak-kanak.
Menurutnya, statistik JKM dalam tempoh 5 tahun (2012-2016) mendapati 2,419 kes dilaporkan disebabkan pengabaian dan kecuaian ibu bapa.
“Ini termasuk kes kanak-kanak ditinggalkan tanpa pengawasan, ditinggalkan dalam kereta, terjatuh dari eskalator, terjatuh dari bangunan dan membiar atau memberi kepercayaan kepada kanak-kanak keluar ke kedai atau pasar malam untuk beli barang keperluan secara bersendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) mengenai jenis dan faktor penderaan kanak-kanak dari 2015 hingga kini.
Mengulas lanjut, Azizah berkata, masalah kewangan, tekanan di tempat kerja dan kurangnya pendidikan agama dan ilmu keibubapaan turut menjadi faktor kepada penderaan kanak-kanak.
Azizah berkata, berdasarkan statistik JKM bagi 2015 hingga 2016, penderaan fizikal mencatat kes tertinggi, iaitu 2,470 kes diikuti penderaan seksual (2,012) dan penderaan emosi (170).
Bagi menangani kes itu, Azizah berkata, kementerian melaksanakan pelbagai usaha termasuk meminda Akta Kanak-kanak 2001 yang kini dikenali sebagai Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016, menubuhkan Majlis Kebangsaan bagi Kanak-kanak dan meluluskan Dasar Perlindungan Kanak-kanak.
Menjawab soalan tambahan Shamsul Anuar berhubung kes penderaan di taska dan pusat jagaan kanak-kanak, Azizah berkata, pihaknya sedang menjalankan pemeriksaan mengejut di taska setiap bulan berdasarkan aduan dan laporan orang ramai.
“Selain itu, taska turut dipasang kamera litar tertutup (CCTV) supaya kita dapat awasi dan mendapatkan maklumat jika berlaku penderaan.
“Sekiranya didapati berlaku penderaan kanak-kanak dan pengabaian, taska tersebut berdepan tindakan tegas, termasuk ditutup dan dibatalkan perkhidmatannya,” katanya.