
Bagaimanapun, Adun Bandar Baru Bangi Shafie Ngah mempersoalkan mengapa dalang sebenar di sebalik aktiviti itu masih tidak diambil tindakan.
“Mengapa ‘ikan-ikan kecil’ yang menjadi keutamaan penangkapan, bukannya ‘ikan-ikan besar’ di sebalik aktiviti itu,” soal beliau.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan 12 individu daripada pelbagai agensi penguatkuasa ditahan SPRM selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah bagi melindungi pusat urut haram di sekitar Selangor.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 2 pegawai polis berpangkat inspektor yang juga merupakan ketua balai polis di negeri terbabit selain 3 anggota berpangkat sarjan, koperal, lans koperal dan konstabel.
Turut ditahan ialah 4 anggota bomba dan penyelamat serta seorang pegawai Majlis Perbandaran Kajang.
“Penangkapan itu menampakkan kesungguhan SPRM membenteras aktiviti jelek dan memahami sensitiviti masyarakat namun saya hairan kenapa bukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan penangkapan itu?
“Aktiviti tersebut adalah dalam kategori jenayah berat yang sepatutnya dalam bidang kuasa PDRM,” soal beliau dalam satu kenyataan.
Beliau juga merayu dan mendesak PDRM bertindak tegas membanteras aktiviti judi dan pelacuran itu dalam apa cara sekalipun.
“Dengan penangkapkan itu nanti akan membawa kepada dalang di sebalik premis dan aktiviti tersebut ke muka pengadilan.
“PDRM juga perlu membuat siasatan ke atas pusat hiburan yang diberi lesen oleh majlis perbandaran kerana kemungkinan aktiviti yang sama wujud di situ secara terselindung.”
Shafie memberi beberapa lokasi pusat hiburan di bawah pentadbirannya yang boleh dibuat pemantauan iaitu di Sungai Chua, Taman Putra Kajang, Reko Sentral, sepanjang Jalan Reko, Hentian Kajang dan Taman Jasmin.