
Presiden MBM, Muaamar Ghadafi Jamal Jamaluddin berkata sebuah jawatankuasa bagi tujuan itu perlu diwujudkan, terdiri daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis.
“Mungkin pihak SKMM dan PDRM boleh wujudkan satu sistem pemantau dan pencegahan firewall untuk menyekat semua ini,” katanya yang bimbang dengan bahan bacaan yang cuma menyebarkan dakyah kumpulan militan seperti IS.
Katanya, bahan bacaan mempromosi IS masih boleh dimuat turun di Internet.
“Saya cuba sendiri, saya muat turun sendiri. Buku itu cukup menarik bahan bacaannya,” katanya, dan menambah ia bukan sekadar penulisan tetapi juga video dan gambar.
“Orang muda akan tengok video… bila dia dah mula minat dia akan percaya dan kemudian jadi orang yang simpati,” katanya kepada FMT.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kira-kira 80% tangkapan dibuat polis terhadap gerakan radikalisme di negara ini membabitkan mereka di bawah usia 40 tahun.
Muaamar berkata selepas seseorang bersimpati terhadap perjuangan IS, mereka kemudian akan percaya dengan ideologi yang dibawa dan kemudiannya menyertai gerakan radikalisme.
Tegasnya, mereka yang menyebarkan sebaran itu juga perlu ditangkap dan negara juga perlu serius dalam perkara ini.
Katanya, selain kerajaan, keluarga juga perlu memainkan peranan yang penting.
“Keluarga perlu pastikan hubungan erat antara anak-anak. Kerana mengikut kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) menyatakan hubungan kekeluargaan kebanyakan mereka terlibat ini adalah rendah.”