
Dalam kejadian pada Khamis itu, seorang lelaki Arab tiba-tiba muncul ketika 12 pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor sedang membuat persembahan tarian ghazal dan zapin, kemudiannya membaling mikrofon dan alat muzik ke lantai sebagai tanda protes.
Ketika mengulas kejadian itu, Nazri berkata tidak ada sesiapa pun perlu dipersalahkan akibat kejadian itu kecuali lelaki terbabit.
“Ia kejadian terpencil dan kerajaan Arab Saudi sudah memohon maaf. Kita tidak boleh suruh mereka (kerajaan Arab Saudi) bertanggungjawab atas tindakan seorang individu,” katanya kepada FMT.
Bernama memetik Kementerian Pendidikan yang berkata pihak Arab Saudi memohon maaf atas kekecohan itu, dan menjelaskan agensi keselamatannya sedang mengenal pasti individu terbabit.
“Persembahan di Pavilion Malaysia akan diteruskan berikutan sambutan hangat masyarakat Arab Saudi terhadap zapin dan ghazal dan sebagai langkah berhati-hati, kawalan keselamatan di pavilion akan diperketatkan sepanjang persembahan berlangsung,” kata kenyataan itu.
Ketika ditanya sama ada insiden seperti itu akan menjejaskan hubungan antara 2 negara, Nazri berkata tidak mungkin ia menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi.
“Ikatan antara Malaysia dan Arab Saudi sangat rapat dan insiden seperti itu tidak akan menjejaskan hubungan kita,” katanya.
Peserta Malaysia, Aizat Azhar, 17, menceritakan rasa terkejutnya apabila alat muzik gambus dicampak ke lantai.
“Saya tidak menyangka perkara ini berlaku kerana beberapa persembahan yang dibuat pada pesta buku ini mendapat sambutan pengunjung tempatan,” katanya dipetik Bernama.
Mengulas berhubung reaksi pelajar yang menyertai persembahan itu, Nazri berkata: “Saya bangga dengan pelajar muda kita. Reaksi mereka menunjukkan semangat Malaysia kerana mereka tidak peduli dengan kekecohan itu dan terus menghormati perjanjian untuk buat persembahan hingga selesai.”
Persembahan ghazal dan zapin Malaysia itu dibuat atas permintaan penganjur.
Tarian zapin Malaysia di Arab Saudi kecoh selepas lelaki mengamuk