Majikan bantah skim insurans pekerja

Majikan bantah skim insurans pekerja

Jika dilaksanakan pekerja hanya memperoleh faedah sebanyak 6% saja dan selebihnya 94% untuk bayaran kos insurans

shamsuddin-bardan-mef-myanmar-1
PETALING JAYA:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) semalam, membantah cadangan penggubalan Skim Insurans Pekerja (SIP) yang akan dibuat oleh kerajaan .

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berpendapat, skim berkenaan tidak adil kepada majikan dan pekerja sekiranya dilaksanakan kerana pekerja hanya memperoleh faedah sebanyak 6% saja dan selebihnya 94% untuk bayaran kos insurans.

“Apa jua kenaikan kos yang akan timbul daripada pengenalan SIP ini hanya akan menyukarkan syarikat swasta.

“Kerana kebanyakan syarikat swasta pada masa ini mengalami masalah dari segi kewangan dan sesetengah syarikat terpaksa mengurangkan pekerja.

“Jika skim ini dilaksanakan, sudah tentu akan meningkatkan kos operasi dan menyebabkan banyak syarikat menghadapi masalah,” katanya ketika dihubungi FMT.

Semalam, Putrajaya berhasrat menggubal undang-undang skim insurans baru bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan mereka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Muttalib dalam sidang Dewan Rakyat berkata Unit Perancang Ekonomi (EPU) sudah meluluskan kertas kerja perancangan SIP sambil menambah ia akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.

SIP yang akan dilaksanakan nanti memerlukan pekerja dan majikan mencarum sepertimana yang diamalkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan ia penting untuk memastikan pekerja mampu bertahan sekurang-kurangnya 4 bulan sebelum mendapat pekerjaan baru.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata pihaknya mencadangkan agar diadakan 1 skim simpanan dibuat dalam akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dalam akaun berkenaan kita mungkin mencarum sehingga 1% setiap bulan dan jika itu berlaku kita akan mengambil masa kira-kira 8 tahun untuk mencapai 1 bulan gaji dalam akaun berkenaan.

“Apa yang diperlukan hanya 1 bulan gaji saja dan selepas mencapai 1 bulan gaji berkenaan, pekerja tidak perlu lagi mencarum.”

Shamsuddin berkata, jika pekerja tidak diberhentikan, simpanan itu akan menjadi milik mereka selepas bersara.

“Wang itu akan jadi wang tambahan ketika bersara jika dibandingkan dengan skim insurans, kalau tidak ada apa-apa berlaku bermakna wang itu akan hangus begitu saja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.