
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, video berdurasi 40 saat itu sudah diteliti oleh pihaknya selepas tular di laman sosial, berita portal tempatan dan antarabangsa sejak semalam.
“Tak perlulah siasat video itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, sebuah rakaman video dimuat naik ke laman Youtube dengan memaparkan seorang lelaki menunjukkan pasport diplomatik Korea Utara miliknya bagi membuktikan beliau adalah Kim Han Sol.
Bagaimanapun, muka surat yang menunjukkan maklumat pasport itu secara terperinci ditutup secara digital.
Kematian Kim Chol dilaporkan secara meluas di media sebagai Jong Nam abang sebapa kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un.
Difahamkan, rakaman video itu dirakam beberapa hari selepas Kim Chol dibunuh dan dimuat naik oleh kumpulan yang dikenali sebagai Pertahanan Awam Cheollima (CCD) ke laman Youtube.
Kumpulan itu mendakwa menyelamatkan beberapa orang anggota keluarga Jong Nam dan mereka berlindung di satu lokasi yang tidak dimaklumkan.
Jurucakap Perkhidmatan Risikan Nasional Korea Selatan mengesahkan lelaki dalam video itu adalah Han Sol namun tidak mendedahkan butiran lanjut.
Han Sol, 21, dipercayai seorang graduan Universiti Sciences Po di Paris yang hidup dalam buangan dengan keluarganya.