Siapa untung tukar status rumah Bumiputera, soal DAP Johor

Siapa untung tukar status rumah Bumiputera, soal DAP Johor

Menteri Besar Johor perlu jelaskan adakah pihak tertentu mengaut keuntungan peribadi daripada dasar membenarkan status rumah Bumiputera ditukar kepada bukan Bumiputera

Yeo-Tung-Siong-dap
PETALING JAYA: Menteri Besar Johor perlu menjelaskan sama ada pihak tertentu mengaut keuntungan peribadi daripada dasar kerajaan negeri membenarkan status rumah Bumiputera ditukar kepada bukan Bumiputera, kata wakil rakyat DAP.

“Semua suspek yang terlibat dibekukan sebanyak RM15.5 juta dalam 45 akaun bank dan dirampas 21 kereta mewah, 5 motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing.

“Dari mana datangnya kekayaan suspek? Adakah kekayaan ini berpunca daripada penglibatan dalam skandal penyelewengan hartanah?” soal Adun Pekan Nenas, Yeo Tung Siong dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Khaled Nordin baru-baru ini berkata kerajaan negeri membenarkan pelepasan kuota rumah mewah berstatus Bumiputera dalam usaha mengurangkan lambakan kediaman mewah. Menurut beliau, sejumlah 3,000 unit rumah, kebanyakannya rumah mewah, ditukar status kepada lot antarabangsa sejak akhir tahun 2013.

Menurut Khaled, hasil pertukaran status itu kerajaan negeri memperoleh RM600 juta daripada pemaju dan dimasukkan ke dalam Tabung Hartanah Bumiputera, yang kemudiannya digunakan untuk membina lebih 6,000 unit rumah mampu milik.

Beliau berkata demikian selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan 6 lelaki, termasuk anak dan pegawai khas seorang exco negeri pada 24 Februari lalu. Suspek disyaki bersubahat dalam kes penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera, menyebabkan mereka yang layak tidak mampu membeli rumah, serta pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek perumahan.

“Ini bermakna pertukaran status 1 unit rumah mewah secara puratanya menyumbangkan RM 200,000 dan harga rumah mewah tersebut bernilai kira-kira RM2.7 juta seunit,” kata Tung Siong mengulas hasil RM600 juta daripada 3,000 unit rumah yang ditukar status itu.

Beliau berharap Dewan Undangan Negeri yang akan bersidang pada 9 Mac nanti menerima dan menyokong usul penubuhan jawatankuasa terpilih untuk memantau siasatan ke atas skandal itu.

“Siasatan mendalam perlu dijalankan dan laporan siasatan perlu diterbitkan kepada orang awam,” kata Tung Siong, meyakini kerajaan negeri mempunyai maklumat lengkap mengenai kelulusan dan pelaksanaan dasar pelepasan kuota rumah Bumiputera.

“Bangsa Johor berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.