PKR minta penyokong reformasi ‘telan’ amarah pada Dr M

PKR minta penyokong reformasi ‘telan’ amarah pada Dr M

Mereka berharap penyokong reformasi berlapang dada, apatah lagi Anwar Ibrahim sendiri dilihat sudah berdamai dengan ‘musuh ketatnya’ itu.

Shaharuddin-niknazmi-mahathir
SHAH ALAM: PKR memahami perasaan marah sebahagian penyokong reformasi terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, namun berharap mereka dapat melupakannya demi mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

Naib Presiden PKR, Prof Shaharuddin Badaruddin dan Ketua Pemuda Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penyokong reformasi perlu berlapang dada, apatah lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah dilihat berdamai dengan “musuh ketatnya” itu.

Mereka mengulas ejekan yang diterima bekas perdana menteri itu apabila muncul mengejut dan memberikan ucapan pada “Konvensyen Reformis Malaysia” anjuran Otai Reformis, 25 Februari lalu.

Ucapan Dr Mahathir agar mereka “melupakan yang lama”, disambut segelintir hadirin dengan laungan “Tak boleh lupa Tun. 18 tahun Tun!”.

“Pasti ada yang tidak boleh memaafkan (Dr Mahathir). Kita tidak boleh paksa, biar secara natural…sebagai manusia, rasa marah akan berkurangan,” kata Shaharuddin ketika ditemui selepas forum di Unisel, hari ini.

Namun, beliau menggesa mereka agar melihat ke hadapan iaitu matlamat 1 lawan 1 pada pilihan raya akan datang.

“Perlu bekerjasama. Ada perkara yang kita perlu utamakan, ada yang terpaksa ditelan dan pendam,” katanya lagi.

Kehadiran Dr Mahathir semalam juga disambut laungan “Mahafiraun”, gelaran yang muncul selepas beliau memecat Anwar daripada Umno dan kerajaan serta mencetuskan gerakan reformasi pada 1998.

Kedua-dua tokoh itu dilihat sudah berdamai, apabila Dr Mahathir bertemu Anwar ketika perbicaraan mahkamah ketua umum PKR tahun lalu.

Nik Nazmi pula berkata, usaha menewaskan BN memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk kumpulan reformasi.

Adun Seri Setia itu berkata, kemenangan terhadap BN akan memudahkan usaha membebaskan Anwar yang kini dipenjara.

“Saya faham ramai golongan reformasi yang bermula sejak 1998 masuk ISA, hilang kerja. Ia pengalaman pahit dan bukan mudah untuk menerima Dr Mahathir.

“Tetapi kita kena berlapang dada, seperti ditunjukkan Anwar dan keluarganya. Pahit bagi mereka, sudah tentu lagi pahit buat tuan punya badan,” katanya.

Dr Mahathir bukan reformis, isytihar penyokong reformasi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.