
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, bahan kimia itu dilarang bawa masuk ke Malaysia kerana ia disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1, Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997.
“Bahan kimia itu memang diharamkan…kerana ia adalah senjata maut. Jika dibawa masuk dengan jumlah yang kecil, susah kita nak kesan,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Mekah untuk menunaikan ibadat umrah hari ini.
Pada 13 Februari lalu, Jong Nam yang merupakan abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk penerbangan ke Macau apabila 2 wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai disembur bahan beracun.
Jong Nam yang memasuki negara ini menggunakan pasport bernama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Ditanya sama ada tempat kejadian dicemari radioaktif, Khalid berkata, polis juga akan menyiasat lokasi itu.
Terdahulu, dalam kenyataan, Khalid berkata, laporan awal analisis Jabatan Kimia Malaysia mendapati bahan kimia agen saraf VX dikaitkan dalam kes pembunuhan itu.
Mengenai laporan waris Jong Nam akan datang ke Malaysia dalam waktu terdekat untuk menuntut mayat dan memberikan sampel DNA, Khalid berkata, laporan tersebut tidak tepat.
“Belum lagi ada aturan untuk waris mangsa datang ke Malaysia. Kami sudah meminta Kedutaan Korea Utara untuk memaklumkan kepada waris dan masih menunggu respons daripada mereka,” katanya.
Selain itu, katanya, polis tidak akan menghantar pasukan ke Macau untuk mendapatkan sampel DNA waris, tetapi akan menunggu waris untuk datang dan membuat pengecaman mayat serta memberi sampel DNA.
Ditanya sama ada beliau berhubung dengan Kedutaan China mengenai waris Jong Nam, beliau menjawab: “Tidak”.
Ditanya sama ada pembunuhan Jong Nam merupakan komplot jahat Korea Utara, Khalid berkata, beliau tidak mahu membuat kesimpulan awal.
“Kami akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kematiannya.”
Katanya, terlalu awal untuk menghadapkan suspek dalam kes tersebut di mahkamah kerana siasatan belum lengkap.
“Biar selesai siasatan, kita akan mengemukakan kes ini kepada peguam negara untuk tindakan susulan,” katanya.
Susulan pembunuhan Jong Nam, polis Malaysia menahan 4 suspek – seorang wanita menggunakan pasport Vietnam, seorang wanita warga Indonesia, seorang lelaki rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Korea Utara.
Lelaki warga Malaysia itu dibebaskan dengan jaminan polis.