
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan salah seorang wanita berkenaan muntah, tetapi tidak memberitahu identiti suspek yang ditahan dalam kes pembunuhan 13 Februari itu.
Sebelum ini, beliau berkata, laporan analisis awal Jabatan Kimia Malaysia mendapati bahan kimia Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate atau Agen Saraf VX digunakan dalam pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara itu.
“Seorang suspek wanita mengalami muntah-muntah…mungkin kesan daripada bahan kimia itu,” katanya ringkas ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas untuk menunaikan ibadat umrah di Mekah.
Pada hari kejadian, Jong Nam berada di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk penerbangan ke Macau apabila 2 wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai disembur bahan beracun.
Jong Nam yang memasuki negara ini menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Susulan kes pembunuhan Jong Nam itu, polis Malaysia menahan 4 suspek – seorang wanita menggunakan pasport Vietnam, seorang wanita warga Indonesia, seorang lelaki rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Korea Utara.
Lelaki warga Malaysia itu dibebaskan dengan jaminan polis.