
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kerjasama itu dilakukan kerana kemungkinan terdapat sisa radioaktif hasil penggunaan bahan kimia Ethyl S-2 Diisopropylamino Ethyl Methylphosphonothioate atau agen saraf VX disenaraikan sebagai senjata kimia.
Sebelum ini, analisis awal Jabatan Kimia Malaysia mendapati agen saraf VX dikaitkan dengan pembunuhan Jong Nam, abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.
“Kami akan mendapat pakar forensik tenaga atom memeriksa lokasi dan mengesan jika ada sisa radioaktif di sana,” katanya di Lapang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas untuk menunaikan umrah hari ini.
Ia merupakan kali ke-2 media terserempak dengan Khalid di KLIA, di mana sebelum ini kira-kira 150 petugas media tempatan dan asing menyerbu sidang media Jabatan Imigresen, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Airlines Operating Committee mengenai usaha mengurangkan masa menunggu di lapangan terbang dengan harapan mendapat perkembangan mengenai kes pembunuhan Jong Nam.
Pada 13 Februari lalu, Jong Nam berada di klia2 untuk penerbangan ke Macau apabila 2 wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai disembur bahan beracun.
Jong Nam yang memasuki negara ini menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Susulan kes pembunuhan Jong Nam itu, polis Malaysia menahan 4 suspek – seorang wanita menggunakan pasport Vietnam, seorang wanita warga Indonesia, seorang lelaki rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Korea Utara.
Lelaki warga Malaysia itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Laporan waris Jong Nam ke Malaysia tidak tepat, kata ketua polis